Pasar Awam Sungai Buloh makin sepi, ramai peniaga gulung tikar

Iklan
Keadaan Pasar Awam Sungai Buloh lengang dengan hanya beberapa peniaga masih bertahan walaupun berdepan kemerosotan jumlah pelanggan setiap hari.

KUALA SELANGOR - Peniaga di Pasar Awam Sungai Buloh, Jeram di sini resah apabila jualan semakin merosot hingga memaksa sebahagian besar daripada mereka menutup perniagaan akibat tidak mampu menampung kos operasi harian.

Pasar Awam Sungai Buloh Jeram makin sepi akibat kekurangan pelanggan

Peniaga barangan kering hasil laut, Mohmed Ibhabiram, 46, berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan lokasi pasar yang terletak jauh ke dalam berbanding pasar lama sebelum ini.

Iklan
Iklan
Mohmed

"Dulu pasar awam di tepi jalan, ramai pelanggan sebab lalu lintas sibuk, tapi bila pindah ke sini, tempat ini terlalu ke dalam, susah orang nak nampak.

"Pasar ini mula berpindah pada tahun 2024 dan sejak itu perniagaan saya mula mengalami kemerosotan teruk," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Mohmed berkata, pasar itu kini hanya bergantung kepada pelanggan pada hujung minggu khususnya Ahad apabila pasar pagi diadakan di kawasan itu.

"Kebanyakan peniaga terpaksa gulung tikar sebab tak ramai orang datang. Sekarang ini hanya kira-kira 20 peniaga yang masih bertahan," tambahnya.

Iklan

Bagi peniaga ayam, Woo Wong Ann, 43, perniagaannya terjejas teruk akibat kekurangan pelanggan.

Wong Ann

Katanya, dia hanya bergantung harap kepada peniaga restoran untuk membeli ayam berbanding pelanggan yang datang terus ke pasar itu.

"Kalau dulu boleh jual sehingga 180 ekor ayam sehari, sekarang nak capai 100 ekor pun susah sebab pelanggan semakin kurang" jelasnya.

Seorang lagi peniaga, Remen Sebastian, 59, berkata, dia sudah berniaga lebih 25 tahun dan pernah mengusahakan kedai runcit sebelum terpaksa menukarnya kepada perniagaan menjual ikan akibat kerugian.

Remen

"Dulu saya berniaga runcit di pasar lama, tapi selepas dipindahkan ke sini, pelanggan makin kurang.

"Sekarang jual ikan pun tidak menentu, nak pulang modal dan kos lain pun susah," katanya.

Tambahnya, pelanggan kini lebih cenderung membeli barang basah di pasar raya atau melalui platform dalam talian yang menawarkan perkhidmatan penghantaran terus ke rumah.

"Sepatutnya jualan boleh meningkat sebab di sini kawasan pelancongan, tapi orang luar pun tak datang singgah," ujarnya.