Tiga bulan berlalu, Pamela Ling masih hilang

Iklan
Pamela dilaporkan hilang pada 9 April lalu ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan kepada SPRM di Putrajaya.

KUALA LUMPUR - Polis masih belum menemui sebarang petunjuk baharu berkaitan kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh walaupun lebih tiga bulan siasatan dijalankan.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, setakat ini, polis telah merakam keterangan daripada 48 orang saksi termasuk dari dalam dan luar negara, namun usaha itu masih belum membawa kepada perkembangan yang signifikan.

Iklan
Iklan

“Setakat ini siasatan masih berjalan, namun tidak banyak petunjuk yang dapat membantu kita menyelesaikan kes ini. Malah, fotofit yang diperoleh juga tidak membantu setakat ini,” katanya.

Mohamed Usuf berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Iklan

Pamela, 42, dilaporkan hilang pada 9 April lalu ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan kepada SPRM di Putrajaya dengan menaiki kenderaan e-hailing sekitar jam 1.30 petang hingga 2.10 petang.

Mohamed Usuf

Iklan

Polis sebelum ini mengesahkan siasatan merangkumi semakan terhadap lokasi terakhir wanita itu, termasuk pemeriksaan rakaman CCTV dan maklumat perkhidmatan e-hailing yang digunakan.

SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Pamela telah dipanggil hadir ke ibu pejabatnya pada tarikh berkenaan, namun tidak muncul seperti dijadualkan.

Peguamnya juga telah membuat laporan polis pada hari yang sama.

Menurut kenyataan itu, tanggungjawab untuk mengesan keberadaan Pamela kini terletak di bawah bidang kuasa polis dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi serta membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.