SHAH ALAM – Pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu boleh disifatkan sebagai seorang ‘underdog’ kerana bukan dalam kalangan nama besar atau tokoh yang dijangka ramai pihak.
Bekas Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara, Liyana Marzuki berkata, bagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang negatif malah mungkin membawa kelebihan dalam usaha memulihkan institusi kehakiman.
Menurutnya, dalam sistem yang sedang dipulihkan kadangkala tokoh yang kurang dikenali lebih selamat berbanding tokoh yang terlalu kerap berada di pentas utama.
“Kalau kita lihat pelantikan kali ini, tiada penyambungan tempoh dan tiada tokoh ‘favourite’. Oleh itu, ramai menganggap ini adalah pelantikan ‘underdog’.
“Namun, kebimbangan tetap ada. Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh pernah menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri, bertanding atas tiket UMNO dan pernah menarik diri daripada mendengar kes berkaitan Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kini beliau memegang jawatan kehakiman tertinggi negara,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X pada Jumaat.
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid diumumkan sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan yang baharu menggantikan penyandang terdahulu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang telah bersara wajib.
Pelantikan beliau diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selepas mendapat nasihat Perdana Menteri dan hasil rundingan bersama Majlis Raja-Raja, menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada Khamis.
Dalam kenyataan sama, turut diumumkan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, manakala Datuk Azizah Nawawi dilantik sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, menggantikan penyandang jawatan itu yang bakal bersara.
Majlis angkat sumpah dan penyerahan watikah pelantikan dijadualkan berlangsung pada 28 Julai di Istana Negara, di hadapan Sultan Ibrahim.
Tambah Liyana, maka apabila terdapat pengkritik yang menyuarakan kebimbangan terhadap potensi kecenderungan pelantikan tertentu kepada UMNO, itu bukan tuduhan melulu.
“Itu isyarat untuk kekal peka. Yang memberi sedikit keseimbangan ialah pelantikan Datuk Azizah sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.
“Beliau pernah menjadi hakim minoriti dan dissenting dalam kes melibatkan bekas Perdana Menteri. Beliau bukan sahaja bebas tetapi dikenali dalam kalangan rakan guaman dan kehakiman sebagai tokoh yang berintegriti.
“Suaranya lantang, pendiriannya konsisten. Ini yang kita mahu bukan tokoh yang disucikan tetapi sistem yang diperbaiki,” jelasnya.