SEPANG – Tujuh warga Afghanistan yang disyaki menggunakan visa palsu telah ditahan secara berasingan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 1 di sini pada Ahad dan Selasa.
Menurut kenyataan AKPS pada Jumaat, kesemua individu berusia antara 15 hingga 36 tahun itu ditahan dalam dua kumpulan berasingan.
Iklan
Iklan
“Kumpulan pertama tiba di Malaysia pada pagi Ahad manakala kumpulan kedua pula tiba pada malam Selasa.
“Bertindak atas maklumat, kita telah memeriksa dokumen mereka. Siasatan awal mendapati kesemua individu terbabit telah menggunakan visa palsu yang dipercayai diperoleh dari Uzbekistan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, individu yang ditahan mendakwa mereka melarikan diri dari Iran sebelum menjadikan Malaysia sebagai destinasi akhir.
“AKPS KLIA telah mengambil tindakan tegas dengan menolak kemasukan kesemua mereka kerana melanggar syarat imigresen dan memalsukan dokumen perjalanan.
“Tindakan pantas dan berkesan ini mencerminkan komitmen berterusan AKPS dalam memastikan kawalan keselamatan sempadan berada pada tahap tertinggi, serta agensi ini tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan migrasi tidak sah,” katanya.