CADANGAN Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) untuk meminda peraturan servis tekong wajar dikaji secara menyeluruh dan tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa, tegas ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun.
Menurutnya, sebarang perubahan perlu dilakukan dengan telus dan inklusif, melibatkan maklum balas daripada semua pihak termasuk jurulatih, pemain serta persatuan kebangsaan.
“Pindaan ini perlu melalui proses percubaan terlebih dahulu. Pemain perlu diberi peluang untuk mengadaptasi peraturan baharu sebelum ia dikuatkuasakan.
ISTAF mencadangkan agar bulatan servis perlu digunakan hanya sebagai penanda di mana tekong mesti meletakkan kakinya semasa melakukan servis.
Cadangan peraturan itu sekali gus membenarkan tekong mengangkat kaki yang tidak menyepak atau tidak digunakan ketika melakukan servis kerana tiada kesalahan dalam hal berkenaan.
Mengulas lanjut, Ahmad Jais menjelaskan perubahan tersebut bukan sahaja memberi dimensi baharu kepada peranan tekong, malah boleh membuka ruang kepada pemain lain seperti apit kanan untuk mengambil alih tugas tersebut.
“Dengan peraturan baharu, sesiapa sahaja termasuk pemain posisi killer boleh mengambil servis secara sah dari bulatan.
“Ini memberikan kelebihan taktikal yang besar, terutama bagi pemain yang memiliki libasan gulung,” ujarnya.
Namun begitu, beliau turut bimbang pindaan tersebut mungkin memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan global sukan sepak takraw termasuk penyenaraiannya di Sukan Olimpik.
“Jika libasan gulung boleh dilakukan terus dari bulatan servis, ia akan menyukarkan pasukan lawan membuat pertahanan.
“Ini boleh menyebabkan negara-negara luar, khususnya dari Eropah hilang minat kerana sukan ini kelihatan terlalu berat sebelah atau sukar dikuasai,” katanya.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader sebelum ini mengakui isu bulatan servis telah menjadi polemik sejak lebih tiga dekad lalu, dan kini badan induk itu sedang mencari penyelesaian konkrit.
Ahmad Jais turut mencadangkan agar Kejohanan Piala Raja Thai yang berlangsung di Songkhla pada 22 hingga 27 Julai ini dijadikan platform perbincangan antara negara anggota ISTAF bagi mendapatkan pandangan lanjut.