LIPIS - Seorang pensyarah kerugian RM137,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan simpanan berkumpulan yang menjanjikan pulangan penuh dalam tempoh dua tahun.
Kejadian itu bermula apabila mangsa, wanita berusia 38 tahun melihat satu iklan berkenaan pelaburan tersebut di laman sosial pada Disember 2023.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, mangsa berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp dan mula menyertai pelaburan tersebut dengan membuat bayaran harian sebanyak RM900.
“Sepanjang 1 Disember 2023 hingga 30 Jun 2024, mangsa membuat 210 transaksi ke tujuh akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM162,000.
“Dalam tempoh dua bulan pertama, mangsa menerima pulangan sebanyak RM25,000 sebelum bayaran terhenti dan suspek menyekat semua komunikasi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ismail berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal menghubungi suspek manakala wang yang digunakan adalah daripada simpanan sendiri.
"Susulan daripada itu, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan dan pengesahan menyeluruh terhadap platform, syarikat atau individu yang menawarkan pelaburan sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
Tegasnya, jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.
"Mangsa penipuan disarankan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi atau urusan,” katanya.