NASIB berbeza dua beregu campuran negara ketika Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2025 di Tokyo menjengah ke saingan suku akhir pada Jumaat.
Pasangan utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan perjuangan dalam kelompok lapan pemain terbaik kejohanan berstatus Super 750 itu.
Mereka yang berstatus ketiga dunia melepasi halangan pusingan kedua pada Khamis selepas menewaskan Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu dalam aksi di Gimnasium Metropolitan itu.
Bagaimanapun Tang Jie-Ee Wei dipaksa bekerja keras oleh pasangan dari Indonesia itu yang mengheret saingan sehingga ketiga set permainan sebelum menang 17-21 21-16 21-12 dalam masa 58 minit permainan.
Menanti mereka dalam aksi suku akhir ialah pasangan Jepun, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara yang mengejutkan pilihan ketujuh dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-11, 21-19.
Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang kalah di tangan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 9-21, 6-21.