Penduduk bantah DBKL keluar notis roboh gerai lebih 10 tahun

Iklan
Johari (kanan) mengadakan pertemuan bersama penjaja dan penduduk yang menerima dua notis daripada DBKL.

KUALA LUMPUR - Peniaga dan penduduk di Blok E16, Jalan 2/76, Pangsapuri Anggerik E2 di sini meluahkan rasa kecewa susulan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengeluarkan notis perobohan terhadap sembilan gerai makanan dan minuman yang telah beroperasi lebih 10 tahun.

Shaaripuddin

Iklan
Iklan

Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Anggerik E2, Shaaripuddin Yup Kamaruddin berkata, penduduk dan peniaga menerima dua notis berasingan daripada dua jabatan DBKL dengan tarikh pelaksanaan yang berbeza.

“Kami diberi notis untuk mengosongkan kawasan niaga ini, sedangkan ada lesen sah, malah sudah berniaga di sini sejak sekian lama.

Iklan

“Tiba-tiba keluar notis roboh tanpa sebarang rundingan. Kami ingin bertanya, di mana keadilannya?” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Shaaripuddin memaklumkan, notis pertama dikeluarkan oleh bahagian pelesenan DBKL dengan tindakan dijadualkan pada Khamis, namun beberapa hari selepas itu, bahagian penguatkuasaan pula mengarahkan perobohan dipercepatkan ke Selasa.

Iklan

“Dua jabatan dengan dua tarikh dan arahan berbeza dikeluarkan DBKL. Kami jadi keliru. Bukan tidak mahu bekerjasama, tetapi tiada ruang langsung untuk berbincang,” ujarnya.

Mohd Reduan

Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk, Mohd Reduan Mohd Raphi pula berkata, semua peniaga adalah penduduk tempatan dan menjalankan perniagaan secara berlesen.

“Premis ini ada nombor lot dan lesen sah, tiba-tiba lesen dibatalkan pada Disember lalu tanpa notis.

“Apabila kami cuba memperbaharui lesen pada Januari, tidak dibenarkan. Tidak lama kemudian, kami pula diberi notis perobohan.

“Setakat ini tiada sebarang pampasan atau cadangan penempatan semula,” katanya.

Tambahnya, isu utama yang dibangkitkan bukan hanya soal perniagaan, tetapi juga keselamatan anak-anak sekolah.

Menurut mereka, projek pelebaran jalan empat lorong itu bakal mendedahkan pelajar kepada risiko kemalangan kerana laluan utama digunakan untuk ke sekolah berhampiran.

“Baru-baru ini seorang wanita maut akibat kemalangan di kawasan itu. Jika jalan ini dilebarkan, lebih banyak kenderaan berat akan melalui kawasan ini.

“Bagaimana keselamatan anak-anak yang berjalan kaki menaiki bukit ke sekolah?” soal Shaaripuddin.

Tambahnya, kawasan tersebut sememangnya berdepan isu kenderaan berat sejak sekian lama dan permintaan penduduk untuk memasang palang keselamatan tidak pernah diendahkan.

Tegasnya, tindakan perobohan akan menjejaskan sumber pendapatan lebih 10 peniaga kecil yang bergantung kepada perniagaan itu untuk menyara keluarga.

“Ada antara kami mempunyai anak OKU (orang kurang upaya), anak masih bersekolah yang memerlukan perbelanjaan. Pendapatan kami sekitar RM4,000 sebulan, belum tolak sewa, bil utiliti dan modal pusingan.

“Kalau gerai diroboh hari ini, esok kami nak makan apa?” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani membantah tindakan DBKL yang didakwa dilakukan tanpa rundingan menyeluruh bersama peniaga dan penduduk.

Menurutnya, tindakan DBKL membawa 56 anggota untuk menjalankan perobohan pada Rabu mengejutkan peniaga dan mencetuskan kemarahan penduduk yang mendakwa tidak dimaklumkan secara jelas.

“Saya baru selesai berjumpa dengan peniaga dan memang akui kedua-dua pihak ada isu masing-masing,” katanya.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, gerai-gerai berkenaan telah wujud lebih 10 tahun dan sebahagiannya memiliki lesen sah DBKL.

“Kalau betul mahu pelebaran jalan, kenapa bukan jalan utama? Ini jalan kecil dalam kawasan flat penduduk.

“Tambahan pula, di hadapan gerai ini ada lagi 60 gerai lain. Kalau yang ini dirobohkan, adakah yang lain juga akan terkesan?

“Saya tidak pernah dimaklumkan tentang keputusan muktamad projek ini. Bila saya tahu, kontraktor sudah pun dilantik. Sepatutnya rundingan diadakan terlebih dahulu,” tegasnya.

Johari turut mempersoalkan logik pelaksanaan projek itu yang didakwa hanya untuk memberi laluan kepada lori dan treler yang menggunakan laluan tersebut sebagai jalan pintas, sedangkan ia tidak sesuai untuk kenderaan berat.

“Jalan ini sempit dan ada longkang. Ia bukan dibina untuk lori berat, dan baru-baru ini pun ada kes treler tersangkut.

“Bayangkan jika berlaku kemalangan maut. Janganlah pembangunan dibuat sampai menyusahkan rakyat,” katanya.

Beliau mencadangkan agar kerja-kerja perobohan ditangguhkan dan laluan itu ditutup sementara sehingga rundingan dimuktamadkan.

Johari turut menyatakan kesediaan untuk turun padang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa bagi menilai sendiri keadaan tapak sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

“Kita cari penyelesaian menang-menang. Jangan ulang kesilapan seperti di Sungai Baru,” tambahnya.

Menurut Johari, pihaknya tidak menolak pembangunan, namun ia perlu dilaksanakan melalui rundingan dan dengan mengambil kira kesejahteraan rakyat.

“Saya bukan anti pembangunan, tetapi ia mesti dilakukan secara adil dan telus. Jangan paksa rakyat berpindah tanpa pelan yang jelas. Kita dah belajar daripada kes lama,” ujarnya.