SHAH ALAM - Tindakan rejim Zionis Israel melancarkan serangan ke atas ibu negara Syria, Damsyik dalam siri serangan berterusan disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan dan gila.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, perkembangan tersebut jelas menunjukkan Israel kini menyasarkan wilayah yang lebih luas dalam usaha memenuhi agenda geopolitik mereka yang dikenali sebagai ‘Israel Raya’ (Greater Israel).
Menurutnya, agenda berkenaan merupakan impian penjajahan moden yang bertujuan menundukkan negara-negara sekeliling serta meluaskan pengaruh ketenteraan dan politik mereka tanpa sempadan.
“ABIM mengecam keras tindakan tidak berperikemanusiaan dan gila rejim Zionis Israel yang terus melancarkan siri serangan ke atas negara-negara berdaulat di Asia Barat, terkini ke atas ibu negara Syria, Damsyik yang menyasarkan lokasi strategik termasuk Istana Presiden dan bangunan Kementerian Pertahanan.
“Serangan ini berlaku selepas tindakan agresif mereka terhadap Iran serta operasi-operasi ketenteraan ke atas beberapa negara lain di rantau tersebut.
“Jelas bahawa rejim Zionis kini bukan sekadar menyerang Palestin, malah sedang menyasarkan wilayah lebih luas demi memenuhi agenda geopolitik jahat yang dikenali sebagai ‘Israel Raya’.
“Serangan bertali arus ini bukan sahaja mencabuli kedaulatan negara-negara yang diserang, malah mengancam keselamatan global, menyalakan api perang serantau, dan menzahirkan betapa Israel bertindak dengan impuniti — tanpa rasa takut atau hormat terhadap undang-undang antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Media melaporkan, Israel bertindak memperluas kempen ketenteraan mereka di Asia Barat dengan mengebom ibu pejabat tentera di ibu kota Syria pada Rabu.
Tindakan pencerobohan tersebut dilancarkan sehari selepas pasukan tentera mara ke bandar Sweida yang didiami komuniti Druze untuk mengawasi pelaksanaan gencatan senjata yang dipersetujui bersama puak Bedouin.
Rejim Zionis mengambil peluang untuk campur tangan dalam konflik dalaman di Damsyik kononnya bagi melindungi komuniti Druze.
Ahmad Fahmi menegaskan bahawa kekejaman dan rekayasa zalim rejim Zionis Israel mesti dihentikan.
“Keamanan tidak akan tercapai selagi dunia membiarkan kerakusan ini berterusan.
“Inilah waktunya umat manusia sejagat untuk bersatu — bukan sekadar atas dasar keagamaan, tetapi atas prinsip kemanusiaan dan keadilan sejagat,” katanya.