[VIDEO] Pempengaruh hilang: Keluarga masih berharap terima khabar gembira

Iklan

MUAR – Keluarga kepada pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, atau lebih dikenali sebagai Ija Nizaruddin yang dilaporkan hilang di Sungai Tui, Bukit Kepong pada Isnin lalu masih menaruh harapan agar menerima khabar gembira.

Sepupu mangsa, Norzilah Yunos, 40, berkata, seluruh ahli keluarga tidak putus berdoa agar segala urusan pencarian oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dipermudahkan.

Iklan
Iklan

Keluarga Tengku Nizaruddin masih menaruh harapan agar beliau ditemui selamat selepas keretanya terjunam ke Sungai Tui, Bukit Kepong.

“Harapan kami kalau dia dijumpai, biarlah dalam keadaan masih hidup. Tapi andai kata dia sudah tiada, cukuplah sekadar jasadnya ditemui.

Iklan

“Kami masih berharap ada khabar baik. Mungkin bukan kes lemas. Namun, apa pun keadaannya kami hanya mahukan kepastian dan kejelasan,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian di Sungai Tui, Bukit Kepong.

Keluarga dan rakan-rakan Tengku Nizaruddin berada di lokasi pencarian di Sungai Tui, Bukit Kepong.

Iklan

Menurut Norzilah, dia menerima berita mengenai kehilangan sepupunya pada Isnin dan terus mengambil keputusan untuk datang ke Bukit Kepong dari Melaka.

“Sejak hari pertama kehilangan disedari, pelbagai usaha telah dijalankan termasuk bacaan Yasin, selain rakan-rakan Ija turut membantu mencari di sekitar kawasan.

“Ija seorang yang baik, ramai mengenalinya dan semua mengharapkan agar dia ditemui,” katanya.

Dalam pada itu, Norzilah turut menyeru orang ramai agar menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih dan spekulasi yang boleh menggores perasaan keluarga.

“Kami minta orang ramai doakan yang baik-baik sahaja,” ujarnya.

Pada Selasa, media melaporkan Tengku Nizaruddin hilang selepas kereta jenis Perodua Axia yang dipandunya terjunam ke dalam sungai berkenaan.

Bagaimanapun mangsa tidak ditemui di dalam kenderaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz memaklumkan bahawa kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai orang hilang.