Kerja pembinaan LRT Laluan Mutiara sudah bermula

Iklan
Kerja-kerja pembinaan bagi LRT Laluan Mutiara di CMC2 iaitu di Macallum ketika ini.

GEORGE TOWN - Kerja pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara secara rasminya bermula selepas kontraktor utama, SRS Consortium Sdn Bhd (SRS), menerima notis mula kerja daripada MRT Corporation (MRTC) pada 15 Julai lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dengan penerimaan notis rasmi itu, kerja-kerja awal pembinaan seperti pemindahan utiliti, pelebaran jalan, kerja cerucuk tanah dan penyediaan tapak bina akan dijalankan di semua lokasi sepanjang jajaran LRT berkenaan yang telah mendapat kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

Iklan
Iklan

“Bagi pihak kerajaan Pulau Pinang, saya mengucapkan terima kasih atas notis yang diberikan. Proses pembinaan akan bermula seperti dirancang.

“Kita juga sedang menunggu keputusan tender bagi pelantikan kontraktor 'turnkey' untuk pakej CMC2 (jajaran dari Macallum ke Penang Sentral) serta pakej sistem rel Laluan Mutiara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, projek mega itu menunjukkan perkembangan positif sejak awal tahun ini termasuk majlis pecah tanah projek di tapak stesen Bandar Sri Pinang serta pelantikan SRS sebagai kontraktor 'turnkey' bagi CMC1 pada Januari lalu.

“Terbaharu adalah pengeluaran notis mula kerja kepada SRS. Dalam masa terdekat, satu platform komunikasi strategik dan talian maklum balas akan diumumkan bagi semua projek mega yang sedang dan akan berjalan di negeri ini.

Iklan

“Ia bertujuan membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat terkini dan berinteraksi secara terus,” katanya.

Beliau turut memohon semua pihak khususnya rakyat Pulau Pinang supaya memberikan kerjasama penuh sepanjang tempoh pelaksanaan projek yang dijangka siap sepenuhnya pada 2031.

“Kita laksanakan projek ini demi masa depan Pulau Pinang,” katanya.

Projek LRT Laluan Mutiara bernilai RM10.5 bilion telah diluluskan Kabinet dan dibiayai kerajaan Persekutuan pada Mac 2024 akan dibangunkan oleh MRT Corp sebagai pemaju projek dan pemilik aset.

Projek ini merangkumi jajaran sepanjang 29.5 kilometer dengan 21 stesen strategik, termasuk sebuah stesen sementara di Pulau A Tebus Guna Selatan Pulau Pinang.

Projek LRT Laluan Mutiara dijangka memberi impak besar kepada infrastruktur dan ekonomi negeri ini, selain meningkatkan kualiti hidup rakyat dan mencipta ribuan peluang pekerjaan.