Polis tumpas sindiket edar heroin RM4.13 juta

Iklan
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan barangan rampasan pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dalam menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis Heroin bernilai RM4.13 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Rabu. Foto Bernama

SHAH ALAM - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah heroin bernilai RM4.13 juta selepas menahan dalang utama bersama dua pengikutnya dalam tiga serbuan serentak di Lembah Klang dan Pulau Pinang, 12 Julai lalu.

Sindiket yang dipercayai aktif sejak awal 2024 itu dikesan menggunakan unit kondominium sebagai stor simpanan dan kenderaan diubah suai dengan ruang rahsia bagi menyeludup dadah ke pasaran.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi khas yang digerakkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Selangor itu digerakkan berdasarkan risikan selama tiga bulan.

Beliau berkata, serbuan dijalankan bermula jam 1.24 tengah hari itu menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 47 hingga 55 tahun bersama heroin base seberat 47.52 kilogram dan heroin seberat 920 gram.

Iklan

"Serbuan pertama di Jalan USJ 19/4, Subang Jaya menyaksikan penahanan lelaki Cina berusia lingkungan 50-an yang memandu kereta Mazda putih.

"Polis kemudian menemui dadah dalam sebuah beg hitam yang disorokkan di ruang khas belakang tempat duduk penumpang," katanya dalam sidang akhbar Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Rabu.

Iklan

Katanya, susulan itu, polis menyerbu kediaman mewah di Seri Kembangan dan menahan lelaki Melayu berusia 40-an bersama heroin base 25.55 kilogram.

"Serbuan terakhir di sebuah kedai makan di Permatang Pauh, Pulau Pinang membawa kepada penahanan suspek ketiga.

"Pemeriksaan lanjut di rumah suspek menemukan heroin base 7.46 kilogram," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek yang ditahan di Pulau Pinang dipercayai mastermind sindiket yang bertanggungjawab mendapatkan bekalan dadah dari luar negara, manakala dua lagi bertindak sebagai transporter ke Lembah Klang.

"Sindiket ini dipercayai memperoleh RM5,000 untuk setiap penghantaran dan mereka menjual dadah secara pukal kepada pengedar lain.

"Semakan mendapati heroin base dirampas adalah gred 4 iaitu jenis yang akan diproses menjadi heroin berkualiti tinggi sebelum diedarkan secara runcit oleh sindiket lain," katanya.

Tambahnya, semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah dan dadah.

"Ujian air kencing mendapati suspek pertama positif methamphetamine manakala dua lagi negatif.

"Semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan aktif dalam pengedaran dadah sejak tahun lalu," katanya.

Hussein berkata, pihaknya turut menyita beberapa kenderaan bernilai RM166,000 termasuk sebuah Audi RS5, dua Toyota Innova, sebuah Volkswagen Golf, dua motosikal iaitu Honda NSR150RR dan Lambretta, di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

"Dua suspek direman lima hari manakala seorang lagi direman enam hari bagi siasatan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis kini memburu rangkaian sindiket yang masih bebas, termasuk pengedar di Lembah Klang serta utara tanah air," katanya.