KOTA BHARU -"Kami terkejut melihat video ibu ditemuramah di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1956 tular selepas lebih 20 tahun pemergiannya," kata anak bongsu kepada bekas Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Allahyarham Prof Dr Jawahir Ali, iaitu Jamal Ali Affendy Yusob, 49.
Selepas video berkenaan tular Allahyarham Jawahir dikatakan sebagai anak Melayu pertama yang menjejakkan kaki ke AS pada usia 16 tahun apabila memenangi pertandingan menulis esei berbahasa Inggeris.
Sebagai anak, Jamal Ali Affendy, terfikir lebih baik jika berkongsi maklumat tepat mengenai ibunya dan memberi pencerahan kepada orang ramai yang mungkin mahu mengetahui lebih terperinci kisah sebenar.
"Ramai yang tidak menyangka keberanian ibu pergi seorang diri ke AS tanpa keluarga dan hanya ditemani pegawai British," katanya.
Berkongsi kisah ibunya yang terpilih ke negara barat itu, kata Jamal Ali Affendy, pemerintah British mengadakan satu pertandingan menulis esei membabitkan semua sekolah di Malaya yang bertajuk The world want.
Jawahir merupakan pelajar Government Girls English School yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Zainab dan pernah dilantik sebagai ketua murid di sekolah berkenaan.
Katanya lagi, ibunya pernah menceritakan kenangannya menjejakkan kaki ke AS tetapi ketika itu dia sukar mempercayainya.
"Kata ibu, banyak tapisan perlu dilalui termasuk bersaing dengan peserta dari Singapura dan beliau menjadi individu Melayu tunggal yang terpilih untuk menghadapi temuduga terakhir.
"Ibu saya juga dipanggil untuk sesi temuduga dalam bilik tertutup di hadapan barisan hakim serta penilai yang merupakan orang British. Mereka tertejut dengan kebolehan dan kepetahan ibu membalas hujahan," katanya.
Jelas beliau lagi, ibunya yang juga anak ulama tersohor Kelantan yang dikenali sebagai Tok Guru Haji Ali memenangi pertandingan berkenaan.
"Ketika ibu masih hidup dan menceritakan kisahnya, saya sebenarnya tidak percaya tetapi rakan-rakannya cuba meyakinkan saya malah ada rakan sekelas ibu menjadi saksi kenangan itu.
"Mereka memberitahu ibu individu pertama yang pergi ke AS dan direkodkan dalam sejarah British. Mungkin ada individu lain termasuk pelaut pernah pergi ke sana sebelum ibu tetapi tiada rekod.
"Ibu juga memberitahu, beliau berpeluang melangkah kaki ke Rumah Putih dan bertemu Presiden AS, Dwight D Eisenhower dan menerima cenderahati daripada pemimpin itu," katanya.
Jamal Ali Affendy yang kini bertugas sebagai Penolong Pegawai Sains Pusat Penyelidikan Perubatan (IMR) tidak menafikan ramai yang meminta bukti sahih selepas dia membuat pengakuan melalui video yang turut dikongsi pengguna media sosial.
"Sebenarnya saya menerima banyak laporan yang menceritakan kebenaran mengenai ibu saya bukan sahaja daripada netizen tetapi rakan-rakan ibu serta anak-anak mereka," katanya.
Menurut Jamal Ali Affendy lagi, ibunya meninggal dunia pada tahun 2005 kerana sakit tua.
Sementara itu, Jawahir ketika ditemuramah mengakui terkejut dengan cuaca di AS yang sangat sejuk walaupun sudah tahu negara berkenaan berada dalam musim dingin.
Jawahir turut membayangkan sebelum tiba di Amerika, beliau membayangkan New York sangat sibuk di dunia sehingga sukar mendengar suara sendiri jika berada di tengah bandar itu.