KUALA LUMPUR – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) melancarkan Portal Digital JKKN yang menghimpunkan Pemetaan Budaya dan Rumah Seni JKKN sebagai gerbang utama informasi kepada rakyat di negara ini.
Ketua Pengarahnya, Mohd Amran Mohd Haris berkata, meskipun idea portal rasmi itu telah lama dirangka, namun pelancarannya menjadi langkah penting dalam memperkasa seni budaya negara.
Beliau menjelaskan, konsep Pemetaan Budaya telah mula digarap sejak tahun 2012, manakala inisiatif Rumah Seni JKKN pula dimulakan pada tahun 2022.
"Pelancaran rasmi portal ini membantu untuk merakyatkan seni budaya secara lebih menyeluruh dan sistematik kepada masyarakat khususnya generasi muda," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Portal Digital JKKN di sini pada Selasa.
Menurut Mohd Amran, pihaknya mahu generasi muda lebih dekat dengan elemen budaya tempatan yang kini semakin dilupakan.
Jelas beliau, Pemetaan Budaya bersifat satu hala membolehkan pengguna melayari kandungan seperti seni persembahan, adat resam, busana, makanan tradisi dan pelbagai lagi.
Tambah beliau, platform Rumah Seni JKKN pula bersifat interaktif dan membolehkan penggiat seni mendaftar profil yang berfungsi sebagai direktori, mempromosi aktiviti seni budaya industri, pembelian tiket digital dan berinteraksi sesama mereka.
"Melalui Rumah Seni JKKN juga, mereka boleh memohon geran di bawah insentif seni yang disediakan JKKN,” katanya.
Setakat ini, katanya, lebih 500 artikel, 2,000 gambar dan 194 video berkualiti tinggi telah dimuat naik ke portal itu membabitkan proses digitalisasi bahan-bahan dan rakaman video lama yang tidak menepati kualiti semasa.
"Jumlah ini menunjukkan masyarakat negara ini semakin menghargai sumber digital sebagai medium pembelajaran dan rujukan seni budaya. Usaha ini juga menelan kos tinggi kerana ada bahan dari era 80-an yang perlu dikemas kini secara digital," jelas beliau.
Mohd Amran memberitahu, dana daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) amat membantu dalam menaik taraf kualiti visual dan maklumat.
Ujarnya, portal Pemetaan Budaya JKKN telah dilayari hampir lima juta kali sejak mula dibangunkan dengan pelbagai inisiatif dilakukan bagi menarik minat orang ramai termasuk pertandingan kuiz eksplorasi budaya yang menyasarkan pelajar sekolah dan orang awam.
"Semua jawapan kuiz boleh dicari melalui portal itu sendiri, jadi secara tidak langsung ia mendorong pengguna untuk meneroka kandungan budaya yang disediakan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata JKKN turut menggunakan media sosial seperti Facebook TV JKKN, YouTube dan TikTok untuk tujuan promosi.
"Kami akan bekerjasama dengan agensi lain seperti Tourism Malaysia, Jabatan Warisan dan Kraftangan untuk memperluas jangkauan informasi seni budaya.
“Harapan kami agar portal ini menjadi rujukan utama masyarakat terhadap seni budaya negara.
"Walaupun cabaran besar kepada kami untuk memastikan setiap kandungan dimuat naik sahih dan berkualiti tinggi, sejajar dengan peranan kami sebagai agensi autoritatif dalam bidang ini,” tambah beliau.
Transformasi digital
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata, pelancaran portal itu seiring dengan matlamat kerajaan untuk mempercepat transformasi digital sektor budaya negara.
"Portal ini satu inisiatif strategi yang bukan sahaja berfungsi sebagai pangkalan data seni dan budaya malah menjadi platform interaktif yang mampu merapatkan jurang antara masyarakat dengan warisan kita.
"Selain itu, portal ini membolehkan masyarakat mengakses maklumat berkualiti secara lebih inklusif pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja sekali gus mengangkat seni budaya Malaysia ke persada global," kata beliau.
Menurut Mohd Yusri, inisiatif itu juga sebagai langkah proaktif bagi mendepani cabaran era digital termasuk perubahan pola tingkah laku masyarakat yang lebih cenderung kepada kandungan atas talian dan keperluan mendesak untuk memelihara khazanah budaya dalam bentuk digital lestari.
"JKKN akan terus memantapkan usaha memperkasa komuniti penggiat seni dengan menyediakan lebih banyak peluang promosi, latihan kapasiti digital dan sokongan teknikal," tambah beliau.