Pencemaran plastik jejas pendapatan nelayan

Iklan
Sukarelawan membentuk barisan untuk memindahkan sisa laut yang dikumpul ke lokasi khas bagi tujuan penimbangan dan pengasingan, selepas pembersihan pantai yang berjaya dijalankan di pantai Tok Jembal.

KUALA NERUS - Pantai timur Malaysia terkenal dengan terumbu karangnya serta kawasan perikanan yang menjadi sumber kehidupan biodiversiti laut dan punca rezeki komuniti nelayan tempatan.

Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, peningkatan sisa plastik telah memberi tekanan besar kepada ekosistem yang rapuh ini.

Iklan
Iklan

Melalui pembungkusan terbuang hingga ke pukat hantu yang ditinggalkan di laut, sampah marin semakin mengancam kawasan tangkapan tradisional yang menjadi warisan turun-temurun.

Lebih membimbangkan, Malaysia kini tersenarai dalam 10 negara teratas bagi pengambilan mikroplastik di dunia.

Iklan

Kajian pada tahun 2024 yang diterbitkan dalam jurnal Environmental Science and Technology menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mengambil purata 502.3 miligram mikroplastik setiap hari, dengan lebih separuh daripadanya berpunca daripada makanan laut.

Bagi komuniti nelayan, isu itu bukan sekadar berkaitan alam sekitar, ia menyentuh soal kelangsungan hidup jangka panjang.

Iklan

Dalam menghadapi cabaran ini, Nestle Malaysia (Nestle) baru-baru ini membawa inisiatif tahunan Pembersihan Pantai dan Bawah Laut ke Terengganu dengan misi yang diperbaharui.

Program itu melibatkan sukarelawan kakitangan daripada program Nestle Sayang Komuniti, penyelidik marin dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), wakil Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan penduduk dari komuniti nelayan pantai Tok Jembal.

Lebih 350 sukarelawan terlibat dalam pelbagai aktiviti di dua lokasi utama. Inisiatif itu menyaksikan sukarelawan bekerjasama dengan komuniti setempat bagi membersihkan sisa plastik di kawasan pesisir, menanggalkan teritip dari bot nelayan, membaiki pondok nelayan dan mengagihkan bantuan asas kepada penduduk.

Lindungi ekosistem semula jadi

Sukarelawan dari Nestle dan UMT bekerjasama membersihkan teritip pada bot nelayan di pantai Tok Jembal.

Sementara itu, di Pulau Bidong, sukarelawan Nestle bersama Ocean Heroes UMT dengan sokongan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melaksanakan kerja pembersihan bawah laut yang menumpukan kepada pukat hantu iaitu antara ancaman utama kepada terumbu karang dan hidupan marin.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols berkata, di Nestle, pendekatan Menjana Nilai Bersama mendorong pihaknya untuk menjana manfaat berkekalan demi penduduk sejagat dan bumi kita.

“Kami bercita-cita mencapai keneutralan plastik yang mendorong kami untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan tempatan bagi menyingkirkan sisa plastik dari alam sekitar dan menerapkan amalan lestari di seluruh rantaian nilai kami.

“Kerjasama ini dilaksanakan di Terengganu bersama rakan-rakan kami dan komuniti pantai Tok Jembal mencerminkan komitmen mendalam kami untuk melindungi ekosistem semula jadi sambil menyokong golongan yang mencari rezeki dalam ekosistem tersebut.

“Mikroplastik kini semakin mengancam sistem makanan kita, inisiatif seperti ini bukan sahaja penting bagi kesihatan alam sekitar tetapi juga mengukuhkan keterjaminan dan keselamatan makanan serta kemampanan jangka panjang komuniti penduduk tepi pantai kita,” kata Juan Aranols.

Menurut Kumpulan Penyelidik Microplastics Research Interest Group (MRIG-UMT), Profesor Madya Dr Yusof Shuaib Ibrahim berkata, pembuangan pukat hantu penting kerana ia akan terurai menjadi mikroplastik yang memberi kesan buruk kepada terumbu karang, hidupan laut dan akhirnya kesihatan manusia melalui rantaian makanan.

“Kebanyakan aktiviti pembersihan hanya tertumpu di kawasan pantai, namun kerjasama bersama Nestle ini menetapkan satu penanda aras baharu dengan memberi tumpuan kepada pencemaran di bawah laut.

“Melalui audit sisa, kami mengumpul data penting untuk mengenal pasti punca pencemaran dan memahami bagaimana pengurusan plastik yang tidak teratur. Walaupun berskala kecil, boleh memberi kesan yang lebih besar.

“Inisiatif ini juga menghubungkan penyelidikan akademik dengan impak dunia sebenar serta membuktikan kerjasama antara industri dan akademia mampu mencetuskan perubahan jangka panjang dalam penjagaan alam sekitar,” katanya.

Kekalkan kebersihan

Juan Aranols bersama pihak UMT dan APMM berjaya mengeluarkan jaring hantu dari dasar laut.

Seorang nelayan dari komuniti Tok Jembal, Rahmat Zamri berkata, pencemaran plastik dan pukat hantu memang memberi kesan besar kepada aktiviti menangkap ikan dan hasil tangkapan pun makin berkurang.

“Keadaan pantai juga tidak seperti dahulu yang sememangnya bersih. Kami mengalu-alukan kehadiran pelawat dan perniagaan tempatan tetapi sampah yang ditinggalkan semakin membimbangkan.

“Kami cuba sedaya upaya untuk kekalkan kebersihan kawasan ini tetapi ia bukan sesuatu yang mudah. Saya sangat menghargai program pembersihan ini, ia membantu menjaga alam sekitar dan juga sumber rezeki kami.

“Apabila syarikat besar seperti Nestle turun padang dan bekerjasama dengan kami, saya harap ia beri inspirasi kepada lebih ramai orang untuk berubah dan lebih menghormati lautan,” kata Rahmat.

Keadaan pencemaran plastik yang terus mengancam kesihatan lautan dan kesejahteraan manusia, inisiatif seperti itu menyerlahkan bahawa perubahan sebenar memerlukan komitmen bersama.

Daripada menanggalkan pukat hantu, membersihkan sisa plastik hinggalah meningkatkan kesedaran awam, setiap usaha membawa kita lebih hampir kepada masa depan yang lestari dan selamat.

Meskipun Terengganu menjadi fokus utama tahun ini, usaha seumpamanya turut dijalankan di Selangor, Perak dan Sabah oleh Nestle, melibatkan lebih 500 sukarelawan dari seluruh negara.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2019, inisiatif tahunan ini telah berjaya mengumpulkan hampir 17 tan sisa marin dari perairan Malaysia.

Bagi tahun ini sahaja, kira-kira 2 tan telah dikumpulkan, bukti nyata keupayaan syarikat dan komuniti apabila mereka bersatu dalam satu tujuan.