NASIB berbeza tiga beregu campuran negara pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2025 di Tokyo sebentar tadi.
PASANGAN suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai bermula dengan langkah kanan apabila menewaskan Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat secara straight set pada kejohanan berstatus Super 750 itu.
Gandingan berpengalaman itu dilihat tiada masalah untuk menundukkan pasangan Thailand tersebut 21-15, 21-10 selama 30 minit permainan di Gimnasium Metropolitan.
Menanti mereka dalam aksi pusingan kedua pada Khamis ialah pasangan Singapura, Hee Yong Kai Terry-Jin Yu Jia atau Mads Vestergaard-Christine Busch dari Denmark.
Turut melangkah ke saingan seterusnya ialah Chen Tang Jie-Toh Ee Wei selepas menumpaskan wakil Kanada, Kevin Lee-Josephine Wu 21-15, 21-19 dalam tempoh 29 minit permainan.
Pasangan negara itu akan menentang gandingan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu atau Guo Xin Wa-Chen Fang Hui dari China dalam aksi pusingan kedua pada Khamis.
Bagaimanapun nasib berbeza menimpa satu lagi pasangan profesional, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien apabila gagal mara ke pusingan kedua.
Mereka tewas di tangan pasangan Jepun, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara 21-9, 21-8 dalam tempoh 28 minit perlawanan.