GOMBAK - Sebuah lori yang membawa muatan khemah terbakar di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak selepas Genting Sempah pada Rabu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada jam 7.24 pagi.
"Seramai 10 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh 35 kilometer," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian pada jam 8.08 pagi, mendapati sebuah lori 10 tan membawa muatan khemah terbakar 90 peratus.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan lorong kiri dan tengah terhalang akibat kejadian terbabit serta hanya lorong kanan boleh dilalui.
Susulan itu, trafik di lokasi kejadian juga menjadi sesak.