Ramai harap bantuan kewangan tunai naik

Iklan
Saad (kanan) dan Siti Halijah (kiri) menunjukkan nasi lemak yang dijual di gerai di tepi jalan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

KOTA BHARU – Rakyat berharap pengumuman besar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi fokus kepada penambahan bantuan tunai serta langkah konkrit menurunkan harga barang keperluan harian.

Golongan berpendapatan rendah termasuk penjaja kecil antara yang paling terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi, selain mengharapkan kerajaan menambah baik bantuan sedia ada seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Iklan
Iklan

Penjaja nasi lemak, Saad Tan, 65, berkata, beliau menerima STR sebanyak RM1,000 namun bayaran dibuat secara berperingkat.

“Mula-mula dapat RM500, lepas tu dua kali RM150. Yang keempat belum masuk lagi, akhir tahun baru dapat baki. Tapi nak kata cukup, memang tak cukup,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurutnya, hampir setiap hari beliau membeli bahan mentah untuk berniaga, tetapi tidak mampu menaikkan harga jualan kerana bimbang pelanggan tidak mampu membelinya.

“Saya jual nasi lemak RM2 saja, letak ikan bilis dengan telur rebus belah empat. Kalau lauk campur macam ayam atau kerang, baru RM5 ke RM7. Sehari dapatlah RM30 ke RM40,” katanya.

Iklan

Tambahnya, pendapatan kecil itu bukan sahaja untuk menampung perbelanjaan keluarga, malah sering digunakan membantu pelanggan tetap yang senasib.

Isterinya, Siti Halijah Othman, 58, pula berkata, mereka masih menyewa rumah di Pengkalan Chepa dengan kadar RM500 sebulan selain menanggung seorang anak yang masih bersekolah.

“Apabila harga barang naik, nak meniaga besar pun tak boleh. Santan sehari dah RM5, bilis mahal, ayam pun naik. Kami beli sekadar mampu,” katanya.

Beliau berharap kerajaan tidak hanya bergantung kepada bantuan tunai, sebaliknya lebih menekankan kawalan harga barang keperluan.

“Dulu bantuan tak banyak, tapi barang murah. Sekarang bantuan ada, tapi barang mahal. Buat meniaga pun cukup makan saja. Harap kerajaan fikir nasib orang kecil macam kami,” katanya.

Taufiq

Sementara itu, di PERAK, seorang pemandu lori, Taufiq Ahmad, 23, berkata, golongan rakyat berpendapatan rendah sudah pasti mahukan bantuan untuk meringankan beban.

Menurutnya, ketika ini memang diakui rakyat berdepan cabaran demi kelangsungan hidup.

“Saya harap kerajaan mungkin boleh pertimbangkan bantuan kewangan kepada rakyat selain bantuan-bantuan lain yang dirasakan perlu untuk rakyat.

“Mungkin juga kerajaan berikan subsidi untuk barang-barang keperluan rakyat atau turunkan harga minyak.

“Saya harap berita yang nak diumumkan nanti betul-betul menggembirakan kami,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sharvin

Bagi pelajar, R Sharvin, 26, pula mengakui teruja dengan pengumuman tersebut.

Menurutnya, biarpun sukar untuk meneka apa yang akan diumumkan, pastinya perkara tersebut memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

“Kita harap pengumuman ini akan menggembirakan semua orang tak kira siapa pun,” katanya.