'Selaras kadar gaji dengan kos sara hidup'

Iklan
Pengumuman besar yang bakal dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat membawa perubahan ketara terutama dalam menyelaraskan kadar gaji dengan kos sara hidup yang tinggi. Gambar kecil: Mohd Hafiz (kiri), Azizol Hakim

KUALA SELANGOR – Golongan pekerja swasta menaruh harapan tinggi agar pengumuman besar yang bakal dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat membawa perubahan ketara terutama dalam menyelaraskan kadar gaji dengan kos sara hidup yang tinggi.

Mohd Hafiz Ahmad Jusak, 32, dari Bukit Kuching berkata, gaji asas ketika ini tidak lagi memadai bagi menampung keperluan harian, khususnya bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Iklan
Iklan

“Sekarang gaji memang tak setara dengan kos hidup. Harga barang makin naik, belanja harian pun bertambah. Itulah realiti rakyat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, pada Selasa.

Menurutnya, isu kenaikan harga barang bukan lagi perkara baharu, namun semakin menekan apabila gaji masih di tahap lama.

Iklan

“Sekarang RM100 pun belum tentu cukup beli barang dapur. Duit cepat habis, tapi gaji tak naik-naik,” katanya.

Mengulas kadar gaji yang lebih wajar, Hafiz berkata, walaupun gaji minimum dinaikkan kepada RM2,000 sebulan, ia belum tentu mencukupi sekiranya harga barangan terus melonjak.

Iklan

“Kalau gaji naik pun, harga barang pun ikut naik sebab kos operasi tinggi. Jadi, kena ada kawalan harga dan sokongan kerajaan supaya kenaikan gaji benar-benar beri kesan,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Azizol Hakim Mohd Bakri, 35, dari Sabak Bernam pula berharap pengumuman Perdana Menteri itu bukan sekadar bantuan bersifat sementara, sebaliknya langkah jangka panjang yang mampu memperbaiki taraf hidup rakyat.

“Rakyat sekarang lebih matang, kami tak mahu dasar populis yang hanya beri kesan sekejap.

“Perlu ada reformasi gaji minimum, peluang kerja lebih baik, kawalan harga barang yang tegas dan sistem kebajikan menyeluruh,” katanya.