SHAH ALAM – Seramai 17 ahli Parlimen penyokong atau backbenchers Kerajaan Perpaduan dilantik sebagai Friends of Ministry (FOM) bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ahli Parlimen terlibat ialah wakil rakyat dari kawasan Bera, Ledang, Kepong, Labis, Paya Besar, Sibu, Kota Melaka, Jelutong, Subang, Batu, Pekan, Sri Aman, Baram, Lawas, Lubok Antu, Hulu Langat dan Ranau.
“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada 17 Ahli Parlimen yang menerima lantikan ini.
“Inisiatif FOM yang diperkenalkan oleh Kerajaan Madani merupakan platform strategik yang meletakkan ahli Parlimen sebagai jambatan komunikasi dua hala antara kementerian dan masyarakat, baik di peringkat akar umbi mahupun di pentas Parlimen,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Jelas beliau, ahli Parlimen FOM bukan sahaja berperanan menyampaikan maklumat, malah menjadi rakan strategik kementerian dalam mendengar suara rakyat serta membawa semula input berharga untuk penambahbaikan dasar.
“Saya amat berharap platform FOM ini dimanfaatkan secara menyeluruh sebagai ruang libat urus yang sistematik dan berfokus.
“Ia bukan semata-mata untuk memperkukuh sesi perbahasan di Parlimen, tetapi juga demi memastikan dasar yang digubal benar-benar mencerminkan realiti, suara dan harapan rakyat,” katanya.