PELAKON terkenal, Datuk Remy Ishak tampil bersuara mengenai filem adiwira terbaru Superman 2025 yang kini menjadi bualan hangat selepas didakwa menyelitkan unsur solidariti terhadap Palestin dalam jalan ceritanya.
Menerusi satu hantaran di akaun Threads miliknya, Remy mempersoalkan apakah benar filem berkenaan memperjuangkan penderitaan rakyat Palestin atau sekadar strategi pemasaran semata-mata.
“SUPERMAN 2025. Bila penderitaan manusia jadi tema pemasaran... kita patut tanya: ini seni, atau sekadar strategi?
“Filem boleh jadi kuat tetapi jangan biar emosi ditunggang oleh kapitalis kreatif.
“Tiba-tiba Superman jadi pejuang Palestin? Tolonglah. Jangan tertipu dengan propaganda versi Hollywood, semua itu dibungkus cantik supaya kau beli tiket, bukan sebab mereka peduli nyawa orang,” tulisnya tegas.
Pandangan pelakon filem Keluang Man itu mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial, termasuk yang tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut.
Namun begitu, Remy membalas dengan tenang dan terbuka, menghormati pandangan berbeza yang dilontarkan kepadanya.
"Saya cuma berkongsi pendapat saya sendiri. Secara peribadi, saya rasa sesetengah syarikat perfileman besar hanya menggunakan isu semasa lebih kepada tujuan pemasaran berbanding solidariti yang sebenar.
“Jika awak rasa mesejnya sampai dan filem itu menghiburkan, itu pun tidak mengapa. Kita tidak perlu pun bersetuju dalam semua perkara, bukan?” balasnya mesra.
Dalam masa yang sama, ada juga warganet yang menyokong kenyataan Remy dan menyifatkan ramai penonton terlalu mudah mempercayai naratif kononnya Hollywood menyokong Palestin.
“Terima kasih. Ramai orang Islam terlalu naif menganggap filem itu pro-Palestin.
"Kalau James Gunn benar-benar menyokong Palestin, dia pasti lebih lantang bersuara, bukan hanya melalui gambaran samar-samar dalam filem kanak-kanak berusia lapan tahun.
“Kita semua tahu bagaimana keadaan hidup kanak-kanak Palestin. Tidak mungkin mereka akan meminta tolong daripada seorang lelaki berpakaian spandex,” tulis seorang pengguna.
Terdahulu, filem Superman arahan James Gunn dipuji ramai kerana didakwa berani menyelitkan unsur peperangan dan penindasan menerusi konflik dua wilayah fiksyen iaitu Boravia dan Jarhanpur.
Kini, Superman 2025 memegang gelaran sebagai filem nombor satu dunia dengan kutipan pembukaan global mencecah AS$217 juta (RM1.1 bilion).