SHAH ALAM - Kerajaan Selangor tidak menafikan kemungkinan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengalami kerugian pada peringkat awal pelaksanaan sistem parkir pintar (SIP) berpusat yang dijangka dimulakan pada bulan depan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, pelaksanaan sistem itu memerlukan pelaburan besar daripada syarikat konsesi terlibat termasuk pemasangan peralatan dan sistem digital canggih bagi memperkemas proses kutipan parkir di seluruh negeri.
"Memang secara kiraan kasar, kita jangka mungkin PBT akan alami kerugian, tapi demi memastikan kutipan lebih tersusun dan berpusat, kerajaan negeri serta MBI perlu mainkan peranannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan pelaksanaan sistem SIP di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini pada Selasa.
Empat PBT terlibat iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Menurut Suee Lim, menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 30 April lalu bersetuju anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI iaitu Rantaian Mesra Sdn Bhd dilantik untuk menguruskan SIP.
Jelas beliau, Rantaian Mesra perlu menyuntik modal besar untuk membangunkan keseluruhan sistem termasuk keperluan teknologi, infrastruktur dan sistem penguatkuasaan digital.
"Kalau kutipan tidak cukup, mereka perlu berusaha tingkatkan hasil supaya kutipan tinggi dan boleh dikongsi dengan PBT," katanya.
Suee Lim menjelaskan, dalam anggaran semasa, tempoh kira-kira tiga tahun diperlukan untuk sistem itu berfungsi sepenuhnya dan mula menjana keuntungan.
"Sekarang ini kutipan kurang memberangsangkan, tapi selepas tiga tahun semua sistem lengkap, kita yakin hasil akan naik,” katanya.
Ditanya mengenai perincian perjanjian dan mekanisme perkongsian hasil, Suee Lim menjelaskan semuanya akan diumumkan selepas dimuktamadkan oleh semua pihak.
"Sekarang ini masih di peringkat akhir dokumentasi dan kita jangka pada 1 Ogos nanti semua akan diumumkan.
Dalam pada itu, Suee Lim menegaskan, langkah itu bukan bentuk penswastaan atau penjualan konsesi, sebaliknya kerjasama strategik yang melibatkan MBI bagi memastikan kerajaan negeri turut berkepentingan dalam pengurusan dan hasil sistem parkir.
"Dalam jangka masa pendek mungkin sukar, tapi dalam jangka masa panjang, kita percaya hasilnya akan lebih tersusun dan menguntungkan semua,” tegas beliau.
Beliau berkata, model baharu itu menyaksikan penglibatan secara langsung kerajaan negeri menerusi MBI, berbanding sebelum ini yang menyaksikan penswastaan penuh tanpa kawalan kerajaan negeri.
"Dulu kita biarkan sepenuhnya pada syarikat swasta urus parkir, kali ini kita libatkan MBI supaya kerajaan negeri ada peranan.
"Ia bukan jual konsesi, tiada sebarang jual beli. Ini kerjasama kerajaan negeri supaya kekal berkepentingan,” katanya.
Jelas beliau, sistem itu akan dilaksanakan secara berfasa melibatkan empat PBT utama dengan lebih 200,000 petak parkir bermula di Shah Alam dan Selayang.
"Sasaran asal pelaksanaan penuh ialah 1 Ogos ini, namun masih bergantung kepada proses dokumentasi serta maklum balas semua pihak terlibat.
"Kalau perlu sedikit masa tambahan untuk tambah baik cadangan sedia ada, kita sedia anjak bagi memastikan PBT, kerajaan negeri, MBI dan konsesi mendapat persefahaman," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Suee Lim berkata, kerajaan Selangor memberi amaran tindakan penguatkuasaan termasuk saman akan dikenakan terhadap premis yang masih degil memaparkan iklan produk vape selepas tempoh yang diberikan tamat.
Beliau berkata, kerajaan negeri sebelum ini sudah mengeluarkan arahan agar semua premis menurunkan iklan berkaitan vape, namun setakat ini pendekatan bersifat advokasi dan mesra masih diguna pakai.
"Kita tahu isu vape ini sangat popular dan hangat sekarang kerana ada yang sokong dan pihak yang bantah.
"Kerajaan negeri sudah bagi tempoh untuk mereka turunkan iklan, cuma belum sampai masa lagi, kalau sampai masa mereka masih tak turunkan, PBT (pihak berkuasa tempatan) akan diarahkan ambil tindakan penguatkuasaan," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) di sini pada Selasa.
Tegas beliau, kerajaan negeri tidak teragak-agak mengenakan saman dan kemungkinan turut menuntut bayaran kos sekiranya PBT terpaksa mengambil tindakan menurunkan iklan vape secara sendiri.
Bagaimanapun, katanya, pendekatan bertimbang rasa diberikan kerana memahami situasi semasa peniaga, namun ketegasan tetap akan dilaksanakan sekiranya arahan terus diingkari.
“Kita faham sekarang nak berniaga pun bukan mudah, jadi kita tak terus ambil pendekatan drastik," ujarnya.
Beliau menjelaskan, penguatkuasaan hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat arahan dan kerjasama daripada Exco Kesihatan negeri, memandangkan isu berkaitan vape juga melibatkan aspek kesihatan awam.
Ditanya berapa banyak premis yang masih gagal mematuhi arahan itu, Suee Lim berkata, jumlahnya banyak namun data terperinci perlu diperoleh terlebih dahulu.