MELAKA - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan memperluaskan penubuhan Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) khas bagi kanak-kanak autisme ke seluruh negara bermula tahun depan, selepas kejayaan pelaksanaan projek perintis itu di Melaka.
Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, program di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ini akan diperluaskan ke semua 14 negeri secara serentak tahun depan dengan sebuah tabika khas diwujudkan di setiap negeri sebagai permulaan.
Menurutnya, usaha mewujudkan tabika khas itu memandangkan keperluan untuk golongan berkenaan semakin tinggi terutama di kawasan luar bandar sekali gus memastikan anak-anak ini tidak terpinggir dari sistem pendidikan negara.
Katanya langkah ini penting kerana sebelum ini ramai ibu bapa terpaksa meletakkan anak-anak autisme di rumah atau menghantar ke pusat swasta yang mahal dan kurang mampu ditanggung oleh penduduk luar bandar.
"Tetapi isu kita masyarakat luar bandar yang tak ada kemampuan untuk meletakkan ataupun menghantar anak-anak yang ke sekolah berkenaan.
"Sebab itulah KEMAS sebagai salah satu agen perubahan masyarakat di luar bandar telah bersetuju untuk kita laksanakan program sekolah khas KEMAS yang mana kita bermula di Melaka dan insya ALLAH tahun depan kita akan kembangkan di seluruh negeri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Tabika Istimewa di Krubong di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Semarahan berkata, tabika tersebut akan dikendalikan oleh tenaga pengajar terlatih yang telah menjalani latihan khas di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sebagai persediaan menghadapi keperluan murid-murid istimewa.
Sementara itu, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran dan Perubahan, Datuk Rais Yasin berkata, kerajaan negeri menyalurkan peruntukan khas sebanyak RM300,000 untuk membantu menyediakan kemudahan seperti pendingin hawa dan alat bantu mengajar di ketiga-tiga tabika di negeri ini.