GEORGE TOWN - Dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kejadian khianat membabitkan kebakaran tiga buah rumah teres dua tingkat di Tasek Gelugor pada 24 Jun lalu.
Kejadian tersebut mengakibatkan keseluruhan rumah musnah serta turut menyebabkan kerosakan terhadap lima buah kereta dan empat buah motosikal, membabitkan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM300,000.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pulau Pinang pada 3 Julai lalu di sekitar negeri ini.
“Penahanan suspek susulan siasatan ke atas kes simbah cat yang berlaku pada 30 Jun di sebuah rumah di Tanjung Tokong.
“Hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian kebakaran di Tasek Gelugor dan turut terbabit dalam lima lagi kes simbah cat yang disiasat JSJK Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah berkenaan antaranya sebuah motosikal jenis Yamaha Y16ZR, satu pasang sport rim, sebuah topi keledar, pakaian milik suspek, sebuah telefon bimbit dan sebuah beg silang.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek ini juga dipercayai menjadi orang suruhan kepada sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau along.
“Kes kini turut disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 20 tahun serta dikenakan denda,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar segera membuat laporan polis sekiranya diganggu atau menerima ugutan daripada mana-mana pihak termasuk sindiket along.
“Tindakan segera pihak polis dapat membantu mencegah kejadian jenayah seperti ini daripada terus berlaku,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan tiga rumah, lima kereta dan empat motosikal di taman perumahan itu musnah dalam kebakaran pada 4.50 pagi namun kejadian tidak membabitkan kehilangan nyawa atau kecederaan.
Seorang daripada mangsa kebakaran kemudiannya memuat naik hantaran di Facebook mendakwa kebakaran dilakukan along yang mahu melakukan khianat terhadap rumah lain.
Lelaki itu mendakwa seorang pemilik rumah menerima surat amaran untuk membayar hutang mengandungi nama dan maklumat peminjam bagaimanapun individu tersebut tidak tinggal di tiga rumah yang terlibat kebakaran tersebut.