Pengarah syarikat keselamatan didenda RM3,500 jalankan perniagaan tanpa lesen

Iklan
Kalaicheloon (kiri) didenda RM3,500 selepas mengaku salah menjalankan perniagaan agensi persendirian tanpa lesen di Mahkamah Majistret Selayang pada Selasa.

SELAYANG – Seorang pengarah syarikat didenda RM3,500 mengaku bersalah menjalankan perniagaan berkaitan kawalan keselamatan tanpa lesen di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

Tertuduh, G Kalaicheloon, 68, didakwa menjalankan perniagaan agensi persendirian tanpa lesen seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 3(1) Akta Agensi Persendirian 1971 di Taman Sunway Batu Caves, Batu Caves pada jam 8.30 malam, 4 Februari lalu.

Iklan
Iklan

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 akta sama memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika pemeriksaan Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN), terdapat dua lelaki warga Nepal berada di pos pengawal.

Iklan

Mereka mengaku bekerja dan digajikan Syarikat Caprilib Multi Services, namun hasil semakan Electronic Security Industry Management System (eSIMS) KDN mendapati syarikat itu tidak berdaftar dengan KDN.

Siasatan juga mendapati syarikat tersebut tidak mempunyai lesen dikeluarkan KDN bagi menjalankan perniagaan agensi persendirian.

Iklan

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Ahmad Syukry Suaed di hadapan Majistret Sabreena Bakar @ Bahari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda selain memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.