PASIR MAS – “Saya hanya mampu berselawat tanpa henti dan berjalan perlahan-lahan sambil berpaut pada barangan yang ada di hadapan untuk keluar menyelamatkan diri semasa rumah sedang terbakar.”
Demikian luahan warga emas, Rahmah Omar, 70, yang bergantung kepada kerusi roda akibat sakit lutut kronik, ketika mengimbas detik cemas rumahnya terbakar kira-kira jam 1.30 petang di Kampung Tok Uban di sini, pada Isnin.
Menurut ibu kepada empat anak itu, kejadian berlaku ketika dia berada di dalam bilik air untuk mengambil wuduk sebelum tergerak hati mahu menjenguk ikan yang telah diperap di dapur.
“Tiba-tiba saya nampak api marak di ruang tamu dan dengar bunyi letupan.
"Saya tidak larat hendak gerak laju. Jadi saya berjalan perlahan-lahan sambil berpaut. Alhamdulillah saya selamat dari rentung kerana api marak terlalu cepat,” katanya kepada pemberita pada Selasa.
Rahmah memberitahu, ketika kejadian anaknya, Nadia Erwany Yusoff, 42, bekerja sebagai tukang cuci keluar bekerja di Lubok Jong, Rantau Panjang manakala cucunya, Nur Aishamina Ibtisam Mohd Azmi, 14, ada di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Uban.
Menurutnya, waktu kejadian kebetulan adik-beradiknya yang tinggal berhampiran tiada di rumah kerana menunaikan solat Zuhur di masjid berhampiran.
"Selain kehilangan rumah yang telah diduduki sejak 40 tahun lalu, wang simpanan RM5,000 juga hangus termasuk barangan kemas.
"Itu duit simpanan untuk sekolah cucu kerana anak saya ibu tunggal sejak 13 tahun lalu, duit yang orang sedekah atau bagi sumbangan dia simpan," katanya.
Rahmah memberitahu, Nadia Erwany menghidap anemia kronik dan perlu menerima dua kali transfusi darah setiap bulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Ujarnya, tiga lagi anak lelaki telah meninggal dunia dan kini hanya bergantung harap kepada Nadia Erwany sahaja.
“Sekarang kami menumpang di rumah kakak buat sementara waktu," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad 12122020257025 atas nama Nadia Erwany Yusoff.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Pegawai Bomba Kanan II Zakuwan Ismail berkata, seramai 11 anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal dengan kemusnahan 70 peratus.
"Punca kebakaran masih lagi dalam siasatan," katanya.