Timor Leste dan ASEAN: Sebuah penantian yang hampiri garisan penamat

Iklan
Timor Leste akhirnya bersedia menyertai ASEAN sebagai negara anggota yang ke sebelas. Foto Bernama

SELEPAS lebih dua dekad menanti di luar gelanggang serantau, Timor Leste akhirnya bersedia menyertai ASEAN sebagai negara anggota yang ke sebelas.

Keputusan penting ini dijangka dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN yang bakal berlangsung Oktober ini, sekali gus menjadikan keanggotaan Timor Leste sebagai penyertaan baharu pertama sejak Kemboja menyertai ASEAN pada 1999.

Iklan
Iklan

Langkah ini bukan sekadar memenuhi aspirasi politik Timor Leste untuk kembali kepada akar serantaunya, tetapi turut mencerminkan semangat keterangkuman ASEAN yang semakin mantap.

Ia juga memberi makna besar kepada usaha konsolidasi ASEAN sebagai satu entiti geopolitik dan ekonomi yang menyeluruh, merangkumi seluruh Asia Tenggara dari Myanmar hingga ke hujung Pulau Timor.

Iklan

Penulis masih ingat kali pertama menjejakkan kaki ke bumi Timor Leste pada tahun 2015. Ketika itu, penulis dijemput sebagai ahli akademik untuk berkongsi pandangan mengenai undang-undang antarabangsa dan peranan negara kecil dalam hubungan serantau.

Artikel penulis ketika itu diterbitkan dalam portal MStar, menyentuh bagaimana Timor Leste, walaupun masih muda dan membangun, memiliki keazaman politik yang kuat untuk mendekatkan diri kepada dunia Melayu dan Asia Tenggara.

Iklan

Tahun berikutnya, pada 2016, penulis kembali ke Dili dalam program lain, dan menulis satu lagi artikel yang diterbitkan oleh Astro Awani.

Dalam tulisan tersebut, penulis mencatatkan bahawa meskipun masih bergelut dengan isu pembangunan pasca konflik, masyarakat Timor Leste menunjukkan rasa hormat dan keterbukaan yang tinggi terhadap Malaysia dan dunia Islam.

Dalam sesi wacana penulis bersama mahasiswa Universitas Nasional Timor Lorosae (UNTL), banyak yang bertanya tentang sejarah Kesultanan Melayu, sistem Raja Berperlembagaan dan peranan Malaysia dalam ASEAN. Jelas sekali mereka mahu belajar, memahami dan bergerak seiring dengan jirannya di rantau ini.

Hubungan akademik di antara universiti-universiti di Timor-Leste terus bercambah dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), yang mana penulis adalah seorang pensyarah apabila para pelajar dari Dili ada mengikuti program mobiliti ‘ASEAN Classroom’ anjuran Unit Undang-undang Antarabangsa, Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM pada tahun 2014.

Mengenal Timor Leste: Negara muda dengan sejarah panjang

Timor Leste, atau secara rasmi dikenali sebagai Republik Demokratik Timor Leste, merupakan antara negara termuda di dunia moden. Ia mencapai kemerdekaan sepenuhnya pada 20 Mei 2002 selepas satu proses panjang dan getir, bermula dengan penjajahan Portugis, pendudukan Indonesia dari tahun 1975, dan akhirnya pentadbiran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum merdeka.

Dengan populasi sekitar 1.3 juta orang dan keluasan tanah sekitar 15,000 kilometer persegi, Timor Leste terletak di bahagian timur Pulau Timor dan berkongsi sempadan darat dengan wilayah Nusa Tenggara Timur milik Indonesia.

Bahasa rasminya ialah Tetum dan Portugis, manakala Bahasa Indonesia dan Inggeris turut digunakan secara meluas dalam pentadbiran dan pendidikan.

Ekonomi negara ini masih bergantung kepada hasil minyak dan gas yang diperoleh dari kawasan Laut Timor, khususnya melalui Greater Sunrise Project.

Selain itu, sektor pertanian, pembinaan dan perkhidmatan juga menjadi sumber utama pendapatan. Namun, kadar kemiskinan dan pengangguran masih tinggi, dan infrastruktur asas seperti jalan raya, sistem air bersih dan kesihatan awam masih dalam proses pembaikan berterusan.

Hari ini, hampir sepuluh tahun selepas lawatan pertama saya ke Dili, Timor Leste semakin menghampiri kemuncak impian tersebut.

Dengan sokongan kuat Indonesia dan Malaysia, serta konsensus politik dalam kalangan negara anggota ASEAN yang lain, keanggotaan Timor Leste bukan lagi persoalan"jika", tetapi"bila".

Malaysia, sebagai tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) dan penyandang Kepengerusian ASEAN 2025, sudah pasti akan memainkan peranan penting dalam merintis fasa terakhir ke arah kemasukan penuh negara tersebut.

Halangan yang masih perlu diatasi

Meskipun proses penerimaan ini semakin hampir kepada kenyataan, Timor Leste masih perlu menangani beberapa kekangan praktikal sebelum dapat diterima sepenuhnya sebagai anggota ASEAN.

Antara syarat utama keanggotaan adalah keupayaan negara tersebut untuk memenuhi kewajipan dalam Perjanjian ASEAN 2007, khususnya dari segi pelaksanaan protokol perdagangan, perundangan dan mekanisme institusi ASEAN.

Setakat ini, Timor Leste masih belum memiliki struktur pentadbiran yang mantap untuk menampung pelbagai komitmen birokrasi dan teknikal yang diperlukan oleh sekretariat ASEAN.

Laporan Penilaian bersama ASEAN menyatakan bahawa walaupun Timor Leste telah menunjukkan kemajuan dari segi politik dan keselamatan, ia masih memerlukan bantuan teknikal dan latihan tambahan untuk melaksanakan Perjanjian ASEAN secara menyeluruh.

Negara ini juga belum mempunyai perwakilan tetap di semua mesyuarat peringkat kerja ASEAN yang berlaku hampir setiap minggu di pelbagai bidang.

Tambahan pula, penggunaan bahasa rasmi ASEAN iaitu Bahasa Inggeris masih terhad dalam kalangan pegawai tinggi dan kakitangan pentadbiran di Dili. Ini menimbulkan cabaran dalam penyelarasan dokumen, komunikasi dasar dan rundingan teknikal.

Namun, pengalaman negara-negara seperti Laos dan Kemboja yang turut bermula dengan sumber yang terhad membuktikan bahawa integrasi itu boleh berlaku secara bertahap dengan sokongan kolektif.

Di sinilah peranan negara seperti Malaysia menjadi penting, khususnya dalam memberi latihan dan membimbing negara baharu ke arah penyesuaian struktur dalaman yang selaras dengan kehendak ASEAN.

Malaysia sebagai rakan strategik Timor Leste

Malaysia, sebagai antara pengasas ASEAN dan negara yang telah lama memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam pelbagai konflik dan rundingan serantau, berada pada kedudukan strategik untuk membimbing Timor Leste dalam proses menjadi ahli penuh ASEAN.

Hubungan diplomatik antara kedua-dua negara telah lama wujud, malah sejak awal kemerdekaan Timor Leste, Malaysia telah menubuhkan kedutaan di Dili dan menghantar tenaga pakar dalam bidang pentadbiran, pendidikan dan keselamatan.

Ketika saya berada di Dili pada tahun 2015 dan 2016, saya melihat sendiri kehadiran warga Malaysia yang berkhidmat sebagai guru, pegawai PBB, dan penasihat pembangunan di pelbagai institusi negara itu.

Mereka bukan sahaja membawa kepakaran, tetapi juga memperkenalkan nilai-nilai profesionalisme dan keterbukaan yang mencerminkan wajah Malaysia sebagai negara Islam sederhana yang progresif.

Dari sudut praktikal, Malaysia boleh terus membantu Timor Leste dalam beberapa bidang utama yang menjadi syarat keanggotaan ASEAN:

1. Latihan teknikal dan tadbir urus: Malaysia melalui Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), INTAN dan institusi latihan awam boleh menawarkan kursus serta bengkel kepada pegawai kerajaan Timor Leste mengenai prosedur ASEAN, rundingan pelbagai hala, serta pelaksanaan dasar serantau.

2. Sokongan bahasa dan komunikasi: Dengan kecekapan tinggi dalam Bahasa Inggeris dalam kalangan pegawai perkhidmatan awam dan diplomat Malaysia, program bimbingan dan pembelajaran bahasa boleh diwujudkan secara berkala untuk membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan penjawat awam Timor Leste.

3. Perkongsian pengalaman dalam penyelarasan domestik ASEAN: Malaysia memiliki pengalaman luas dalam menyelaras dasar dan komitmen ASEAN melalui Jawatankuasa Nasional ASEAN, dan struktur ini boleh dijadikan model atau rujukan bagi Timor Leste mewujudkan mekanisme penyelarasan serupa di peringkat kebangsaan.

4. Kerjasama universiti dan penyelidikan: Institusi pengajian tinggi Malaysia seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaya (UM), dan Universiti Utara Malaysia (UUM) boleh menjadi rakan strategik kepada universiti-universiti di Timor Leste melalui program mobiliti, kerjasama penyelidikan, dan penerbitan bersama.

5. Pemerkasaan belia dan masyarakat madani: Malaysia boleh memainkan peranan memperkasa pertubuhan belia dan NGO Timor Leste untuk memahami dimensi sosial ASEAN seperti hak asasi manusia, perubahan iklim, pembangunan lestari dan integrasi serantau. Program seperti ASEAN Youth Volunteer Programme (AYVP) dan ASEAN People’s Forum boleh menjadi platform awal buat mereka.

6. Peranan sebagai suara diplomatik: Malaysia juga boleh terus memainkan peranan di pentas ASEAN untuk mengimbangi suara negara-negara besar agar proses kemasukan Timor Leste tidak dilengah-lengahkan atas alasan birokrasi semata-mata. Sebagai negara yang mempunyai prinsip ketuanan undang-undang dan kedaulatan negara kecil, Malaysia boleh menjadi suara penegas bahawa ASEAN mesti bersifat inklusif.

Dalam erti kata lain, Malaysia bukan sekadar menyokong kemasukan Timor Leste atas dasar semangat kejiranan, tetapi juga kerana percaya bahawa rantau ini akan menjadi lebih kuat apabila semua negara Asia Tenggara bersatu dalam satu kerangka yang saling memahami dan mempercayai.

Kepimpinan Malaysia dalam Kepengerusian ASEAN 2025 nanti akan menjadi pentas terbaik untuk menandatangani keanggotaan penuh Timor Leste secara rasmi dan sekali gus meletakkan negara itu dalam arus perdana serantau.

Dengan bimbingan rakan seperti Malaysia, dan iltizam politik dari dalam negara itu sendiri, saya yakin Timor Leste tidak akan hanya menjadi ahli ASEAN secara simbolik, tetapi akan berkembang sebagai suara baharu yang membawa nilai kemerdekaan, keberanian dan perpaduan ke dalam wacana ASEAN.

Keuntungan strategik untuk ASEAN

Dalam konteks geopolitik, kehadiran Timor Leste sebagai ahli penuh ASEAN akan memperkukuh kedudukan blok ini dalam merangka pendekatan bersepadu terhadap Indo-Pasifik.

Letaknya yang strategik di laluan pelayaran antara Australia dan Asia Tenggara menjadikan negara ini aset penting dalam menjaga keselamatan maritim serantau.

Dari sudut identiti pula, kehadiran Timor Leste mengukuhkan naratif bahawa Asia Tenggara adalah wilayah sejarah dan budaya yang dikongsi bersama.

Meskipun latar belakang kolonialnya berbeza dan majoriti penduduk beragama Kristian, akar sejarah Timor Leste tetap berkait rapat dengan dunia Melayu melalui hubungan maritim dan perdagangan sejak zaman silam.

Sebagai seorang yang pernah berkhidmat secara akademik di Timor Leste, saya menyambut baik langkah ASEAN ini.

Saya percaya bahawa dengan semangat kolektif dan kesediaan untuk saling membantu, Timor Leste bukan sahaja akan menjadi ahli ASEAN, tetapi juga penyumbang penting kepada kekuatan dan keutuhan rantau ini.

ASEAN tidak lagi boleh berfikir secara eksklusif, apatah lagi dalam era pasca pandemik yang menuntut keterbukaan dan kolaborasi merentas sempadan.

Kesimpulan

Penantian Timor Leste selama 26 tahun ini bukan satu kelewatan sia-sia. Ia adalah proses pembelajaran, pematangan dan pengukuhan institusi yang harus dihargai. Apabila negara ini akhirnya diterima secara rasmi sebagai ahli, ASEAN bukan sahaja akan memiliki satu bintang baharu, tetapi juga memperkukuh legitimasinya sebagai organisasi serantau yang inklusif dan berpandangan jauh.

Melihat Timor Leste akhirnya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara ASEAN lain adalah satu yang patut diraikan dan dipercepatkan.

Walaupun terletak jauh di sudut timur, Timor-Leste masih lagi sebahagian dari Dunia Melayu rantau Nusantara yang memiliki ciri-ciri kekuatan serumpun yang telah lama berakar umbi di rantau ini dikalangan negara-negara Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam.

Kini tiba masanya Timor-Leste juga secara rasmi masuk ke ruang lingkup yang sama melalui ASEAN.

*Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah Ketua Penyelidik, Unit Undang-Undang Antarabangsa, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Felo Penyelidik, Institut Asia bagi Hal Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi (AIIAD), Universiti Utara Malaysia (UUM)