KHAN YUNIS - Israel telah memperhebatkan kempen pemusnahan di bandar selatan Rafah, selatan Genting Gaza selepas muncul laporan tentang projek pembangunan 'kem tahanan' buat penduduk Palestin.
Siasatan oleh Al Jazeera berdasarkan data Pusat Satelit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOSAT) mendapati jumlah struktur dirobohkan sehingga 4 Julai adalah kira-kira 28,600 buah berbanding 15,800 buah pada 4 April lalu.
Ini bermakna kira-kira 12,800 struktur dibinasakan dalam tempoh tiga bulan, sekali gus menunjukkan peningkatan mendadak di bawah projek jahat untuk memusnahkan bandar tersebut yang sebelum ini berpopulasi kira-kira 275,000 orang.
Pendedahan itu dibuat selepas Menteri Hal Ehwal Tentera, Israel Katz mengumumkan pelan jahat untuk menubuhkan 'bandar kemanusiaan' di tapak runtuhan di Rafah.
Pada minggu lalu, Katz berkata, arahan telah diberikan kepada Pasukan Pertahanan Israel (IDF) untuk melakukan persediaan bagi melaksanakan rancangan tersebut yang kononnya sebagai sebahagian daripada pemindahan secara sukarela.
Menurut Katz, askar Zionis akan mengawal perimeter 'kurungan' tersebut dan kira-kira 600,000 penduduk Palestin akan ditempatkan di bawah fasa awal pembukaannya.
Pakar undang-undang dan aktivis hak asasi manusia bagaimanapun memberi amaran pelan tersebut berisiko menjadi satu bentuk jenayah kemanusiaan.
"Israel cuba berselindung dengan rancangan sebenar mereka yang mahu mengusir penduduk Palestin dari wilayah tersebut," kata peguam hak asasi manusia di Tel Aviv, Michael Sfard. - Agensi