SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat satu pengumuman besar sebagai penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia.
Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook milik Anwar pada Isnin.
Tidak dijelaskan secara terperinci mengenai pengumuman tersebut, namun hantaran ringkas itu turut meletakkan tanda pagar ‘Malaysia Madani’ dan ‘Bersama Malaysiaku’.
Sementara itu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen turut memberi bayangan pengumuman tersebut mempunyai kaitan dengan pertemuan tertutup melibatkan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) pada Isnin.
Ujarnya, beliau juga telah menyatakan pandangannya dalam pertemuan tersebut.
“Saya sudah bercakap dalam pertemuan dengan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen PH.
“Saya sudah sampaikan apa yang perlu dikatakan, jadi tunggu berita selanjutnya.
“Akan ada pengumuman dalam masa beberapa hari lagi,” katanya dalam hantaran pada Isnin.
Pada Isnin, Anwar dan pemimpin PH mengadakan perjumpaan tertutup bagi membincangkan beberapa isu termasuk persediaan parti untuk sidang Parlimen yang akan datang.
Pertemuan berkenaan merupakan kesinambungan sesi libat urus bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang diadakan pada Jumaat lalu.