SHAH ALAM - Polis sedang siasat secara teliti bagi mengenal pasti wujud sebarang elemen lucah atau ajaran yang menyimpang daripada norma masyarakat berkaitan program motivasi rumah tangga yang didakwa songsang dan terpesong.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan setiap aspek dan dakwaan dapat dinilai dengan adil.
Iklan
Iklan
"Sehubungan itu, kita akan memanggil semua peserta yang hadir dalam program tersebut untuk dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Hussein berkata, siasatan berkaitan program itu telah dimulakan melalui pembukaan kertas inkuiri polis.
"Hasil siasatan lanjut, kes tersebut kini telah diklasifikasikan di bawah kertas siasatan mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan, Seksyen 509 akta sama dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil," katanya.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada dan berhati-hati dalam menyertai mana-mana program, aktiviti, atau bengkel yang tidak jelas tujuannya serta tidak diketahui latar belakang penganjurnya.
"Orang ramai digalakkan untuk membuat semakan dan rujukan terlebih dahulu sebelum mengambil bahagian agar tidak terjebak dengan aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang atau nilai moral masyarakat," ujarnya.