Festival turath pamer mushaf unik, jualan buku langka

Iklan
Festival Buku Islami 2025 yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 20 Julai ini berbeza daripada pesta buku biasa kerana mengangkat konsep lebih luas dan menjadi acara kemuncak dalam Festival Turath Islami Selangor (FTIS)

LEBIH 30 penerbit dan penjual buku bakal menyemarakkan Festival Buku Islami 2025 yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 20 Julai ini.

Berbeza daripada pesta buku biasa, festival itu mengangkat konsep lebih luas dan menjadi acara kemuncak dalam Festival Turath Islami Selangor (FTIS) 2025 yang bermula pada 12 Julai.

Iklan
Iklan

Penganjurannya bukan sekadar jual beli karya Islam tetapi menghimpunkan wacana, warisan dan pengetahuan merentas usia dan bahasa.

Acara empat hari itu dijangka menarik kehadiran hingga 50,000 pengunjung, sekurang-kurangnya separuh pengunjung festival tersebut sebelum ini.

Iklan

Koordinator FTIS 2025 Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman memaklumkan tempoh empat hari penganjuran itu ideal berdasarkan amalan industri selain pertimbangan logistik serta kos pempamer.

Antara penerbit utama yang mengambil bahagian termasuk Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), Pelita Dhihin, Akademi Pengajian Turath, Yayasan Restu dan Galeri Ilmu. Masing-masing membawa naskhah unik dan bernilai tinggi.

Iklan

IBDE tampil dengan karya turath dan sastera agung dunia. Pelita Dhihin menawarkan buku antarabangsa terpilih manakala Akademi Pengajian Turath dikenali menerusi terjemahan karya Syeikh Ali Jum’ah.

Yayasan Restu pula mempamerkan mushaf bercirikan ragam hias menarik, sementara Galeri Ilmu kekal dengan buku asas Fardhu Ain dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Festival itu turut menampilkan dua penjual buku nadir, Taman Pustaka dan Bukuku Press yang menyediakan bahan Malaysiana langka dan eksklusif. Ini memberi kepuasan kepada pengunjung yang memburu bahan rujukan unik.

Inklusif

Meskipun membawa nama Islami, festival itu tidak eksklusif kepada kitab Arab semata-mata. Buku dalam bahasa Inggeris, Jawi dan Cina turut ditawarkan, menjadikannya inklusif kepada semua pembaca.

Lebih menarik, festival itu memperkasa aspek wacana menerusi daurah kitab penting Tafsir Jalalain dan Usul Tafsir karya Imam as-Suyuti. Sesi itu akan berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 12 hingga 19 Julai.

Kupasan Tafsir Jalalain dijalankan dalam 17 sesi oleh enam ulama dari Maghribi, Mesir, India, Syria, dan Indonesia manakala Usul Tafsir meliputi tiga sesi membincangkan asas ilmu tafsir al-Quran.

Kitab tersebut sering dijadikan rujukan dalam kalangan pelajar pondok dan pesantren di alam Melayu dan Nusantara. Usul Tafsir pula merupakan pecahan daripada kitab asal, Itmam ad-Dirayah li Qurra’ an-Nuqyah.

Majlis tersebut akan diselang-selikan dengan pembacaan kitab Dalail al-Khairat. Karya tokoh sufi Maghribi, Imam Abu Abdullah Muhammad Sulaiman al-Jazuli itu amat berpengaruh dalam dunia Islam.

Kitab itu turut disebut dalam karya Tuhfat al-Nafis, ketika Raja Haji Fi Sabilillah gugur syahid dalam peperangan menentang Belanda sambil menggenggam kitab tersebut.

Kesimpulannya, festival tersebut bukan sekadar pesta buku. Ia medan memuliakan khazanah keilmuan dan perjuangan umat Islam yang berakar dari turath.