SEPANG – Tempahan penginapan meragukan dan wang sara diri tidak mencukupi antara pelanggaran syarat kemasukan warga asing ke negara ini yang mengaku diri mereka sebagai pelancong ketika tiba di negara ini.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam kenyataan berkata, pihaknya telah menolak kemasukan 131 warga asing di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana didapati gagal memenuhi syarat kemasukan pada Jumaat lepas.
Menurutnya, dalam operasi yang dijalankan bermula jam 3 petang hingga 10 malam itu, lebih 300 warga asing telah diperiksa di Balai Ketibaan Antarabangsa dan Pintu Perlepasan C1 hingga C37.
"Daripada jumlah itu, 96 lelaki Bangladesh, 30 lelaki Pakistan serta lima warga Indonesia yang merangkumi empat lelaki dan seorang wanita didapati tidak mematuhi syarat ditetapkan.
"Antara pelanggaran syarat kemasukan yang dikenal pasti termasuklah tempahan penginapan yang meragukan, kegagalan melapor diri di kaunter Imigresen dan membawa wang sara diri yang tidak mencukupi," katanya pada Isnin.
Jelasnya, isu kewangan adalah penunjuk utama niat sebenar pelawat.
"Sebagai contoh, ada yang mendakwa ingin tinggal selama sebulan di sini tetapi hanya membawa wang sekitar RM500, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap tujuan mereka.
"Ini selaras dengan prinsip imigresen antarabangsa yang mana pelawat mesti membuktikan mereka tidak akan menjadi beban kepada negara yang dikunjungi," ujarnya.
Tambah kenyataan itu, AKPS KLIA menegaskan bahawa keselamatan dan kedaulatan sempadan negara akan terus menjadi keutamaan.
"Sebarang percubaan untuk masuk ke negara ini melalui pemalsuan dokumen atau tujuan yang meragukan akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.
"Justeru, semua pelawat asing dinasihatkan agar memastikan dokumen perjalanan, perancangan penginapan serta sumber kewangan mereka adalah lengkap, tulen dan munasabah sebelum tiba di Malaysia," katanya.