Majlis Peguam berhimpun pertahan kebebasan kehakiman

Iklan
Sebahagian besar ahli Majlis Peguam Malaysia berhimpun di hadapan Istana Kehakiman pada Isnin bagi menyertai Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman.

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebahagian besar ahli Majlis Peguam Malaysia berhimpun di hadapan Istana Kehakiman pada Isnin bagi menyertai Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman (Walk to Safeguard Judicial Independence) yang bermula sekitar jam 2 petang.

Perarakan tersebut bertujuan menyerahkan memorandum empat tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri melibatkan isu kebebasan dan integriti badan kehakiman negara.

Iklan
Iklan

Presiden Majlis Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, tuntutan itu merangkumi gesaan supaya kerajaan mengisi kekosongan jawatan tertinggi kehakiman, mendedahkan minit mesyuarat terkini Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) serta menangani kekosongan jawatan secara menyeluruh.

Peserta perarakan hadir dengan pakaian hitam sebagai simbol solidariti dan membawa plakad menuntut ketelusan dalam pelantikan kehakiman.

Iklan

Peserta perarakan hadir dengan pakaian hitam sebagai simbol solidariti dan membawa plakad menuntut ketelusan dalam pelantikan kehakiman serta mendesak kerajaan mengambil tindakan segera terhadap krisis keyakinan terhadap institusi kehakiman negara.

Mohamad Ezri dalam sidang medianya berkata, memorandum itu diserahkan kepada Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri Datuk Zamri Misman

Iklan

“Kami berpuas hati dengan penerimaan memorandum ini dan berterima kasih kepada pihak polis yang memberi kerjasama penuh sepanjang perarakan berlangsung secara aman,” katanya.

Beliau berkata, Majlis Peguam tidak menetapkan sebarang tempoh masa kepada kerajaan untuk bertindak balas terhadap tuntutan tersebut, namun mengharapkan tindakan segera diambil bagi mengembalikan keyakinan terhadap institusi kehakiman.

“Kami juga mendesak supaya minit mesyuarat terkini Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) didedahkan, dan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam sistem kehakiman negara,” katanya.

“Kekosongan jawatan menyebabkan banyak kes tertangguh sehingga tahun 2030. Ini membebankan hakim dan melambatkan keadilan kepada pihak terlibat,” ujarnya.

Mohamad Ezri turut menegaskan bahawa kebebasan kehakiman adalah teras kepada sistem demokrasi yang sihat dan harus dilindungi daripada sebarang bentuk campur tangan atau tekanan luar.

“Kami bukan sekadar memperjuangkan isu pelantikan, tetapi mendesak ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam proses itu demi masa depan institusi kehakiman negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya tidak merancang untuk mengadakan perarakan susulan sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi, namun perkara tersebut akan dibincangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Peguam pada 26 Julai ini.

“Kami akan bentangkan beberapa usul penting berkait isu ini dalam AGM nanti. Ini bukan perarakan terakhir, tetapi peringatan kepada kerajaan bahawa kami serius,” tegasnya.

Mengulas mengenai siasatan polis terhadap individu yang mendedahkan minit mesyuarat JAC, beliau enggan mengulas lanjut dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.