MARDI perkenal varieti MR CL3, MR CL4 atasi masalah padi angin

Iklan
Mohamad bergambar pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Clearfield Baharu Mardi MR CL3 dan MR CL4, di Pusat Benih Padi FELCRA Plantation Service Sdn Bhd, FELCRA Seberang Perak, pada Isnin. Foto Bernama

PASIR SALAK - Industri padi dan beras negara terus diperkasa apabila dua varieti padi baharu, MR CL3 dan MR CL4 diperkenal bagi menangani cabaran utama pengeluaran terutama melibatkan serangan padi angin.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kedua-dua varieti baharu itu merupakan hasil kerjasama strategik selama lebih 20 tahun antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan syarikat BASF.

Iklan
Iklan

"Kaedah pengkomersialan varieti ini dilaksanakan melalui Sistem Pengeluaran Clearfield yang merangkumi tiga komponen iaitu varieti padi, racun rumpai khas Trek dan panduan penggunaan teknologi.

"Ketiga-tiga komponen ini digabungkan untuk menjamin kelestarian teknologi dan menangani masalah padi angin," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Clearfield Baharu MR CL3 dan MR CL4 di Pusat Benih Padi FELCRA Plantation Services Sdn Bhd Seberang Perak di sini pada Isnin.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Pengerusi MARDI, Dr Azman Ismail dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Iklan

Mohamad berkata, varieti MR CL3 dan MR CL4 mempunyai kelebihan utama iaitu tempoh matang awal antara 99 hingga 102 hari, potensi hasil melebihi tujuh tan sehektar serta ketahanan terhadap penyakit karah daun dan karah tangkai.

“Varieti ini sesuai digunakan dalam program-program di bawah KPKM seperti penanaman lima kali dua tahun dan SMART SBB, selaras dengan matlamat meningkatkan hasil pengeluaran serta kesejahteraan pesawah," katanya.

Tambah Mohamad, kerjasama strategik sektor awam dan swasta merupakan kunci dalam memacu reformasi menyeluruh industri padi negara bagi memastikan keterjaminan makanan lebih kukuh pada masa hadapan.

“Usaha ini mencetuskan teknologi inovatif sesuai dengan cabaran semasa, malah menjadi model kerjasama awam-swasta yang perlu diperluaskan.

"Semoga teknologi memberi manfaat kepada pesawah dan memberi impak terhadap industri padi dan beras negara," katanya.

Sementara itu, Azman dalam ucapannya berkata, kesan serangan padi angin menyebabkan kerugian hasil tuaian yang tinggi iaitu antara 20 hingga 80 peratus.

Katanya, keadaan itu sekali gus menyumbang kepada pengurangan pendapatan pesawah dan secara tidak langsung memberi kesan kepada pengeluaran padi negara.

"Keistimewaan utama MR CL3 dan MR CL4 adalah daya tolerannya terhadap racun rumpai kumpulan Imidazolinone.

"Ia dihasilkan daripada kacukan varieti tempatan iaitu MR 253 dengan varieti MR 220CL2 yang mempunyai gen rintang terhadap racun tersebut.

"Racun ini dapat mengawal padi angin secara selektif dan berkesan, tanpa menjejaskan pertumbuhan padi MR CL3 dan MR CL4," katanya.