NIBONG TEBAL - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengingatkan semua pegawai dan guru agar tidak menyertai program motivasi yang meragukan termasuk program kontroversi yang tular baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, guru dan pegawai KPM tidak seharusnya terlibat dengan sebarang program motivasi yang tidak jelas pengisiannya.
Menurutnya, KPM sudah pun menyediakan pelbagai bentuk program pembangunan dan motivasi untuk guru, termasuk sokongan kaunseling, yang lebih sesuai serta berpandukan objektif pendidikan.
"Saya fikir ini satu perkara yang serius. Kalau guru-guru rasa tidak cukup motivasi, datang jumpa saya. Saya boleh berikan motivasi.
"Kita ada banyak program pembangunan dan motivasi yang dianjurkan oleh KPM sendiri, termasuk kaunseling untuk guru. Kalau ada program-program luar yang tidak sesuai, elakkanlah," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Widuri di sini pada Isnin.
Fadhlina turut menasihatkan warga pendidik agar memberi fokus kepada tugas hakiki serta isu-isu pendidikan di peringkat sekolah selain memanfaatkan pelbagai inisiatif dalaman yang disediakan kementerian.
"Nasihat saya, berhati-hati dalam menyertai program-program di luar.
"Tumpukan kepada motivasi dan pembangunan dalam sistem pendidikan yang kita laksanakan," ujarnya.
Sebelum ini, tular di media sosial berhubung program motivasi rumah tangga didakwa mengandungi unsur mencolok mata serta bercanggah dengan ajaran Islam.
Berikutan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengesahkan siasatan terhadap pasangan yang dikaitkan dengan penganjuran program berkenaan sedang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).