Malaysia tuan rumah pertama Konvensyen Fujian ASEAN 2025

Iklan
Hock San (duduk, tengah) pada sidang media Konvensyen Fujian ASEAN 2025 di Plaza Seri Setia pada Isnin. FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada Konvensyen Fujian ASEAN 2025 yang julung kali diadakan di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur di ibu negara pada 28 Ogos ini.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia merangkap Pengerusi Bergilir Gabungan Persatuan-Persatuan Fujian ASEAN, Tan Sri Ir. Dr Lim Hock San berkata, konvensyen itu akan menjadi antara acara penting sempena Malaysia sebagai Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

Iklan
Iklan

Jelasnya, acara berprestij itu juga adalah kesinambungan kepada kejayaan penganjuran Persidangan Dunia Fujian ke-11 tahun lalu, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan menghimpunkan lebih 3,300 wakil daripada 108 persatuan Hokkien dari lebih 20 negara.

“Selain lebih 10,000 pengunjung hadir ke pameran dan forum ekonomi yang diadakan, antara pencapaian terbesar ialah penubuhan rasmi Gabungan Persatuan Fujian ASEAN, yang menjadi penanda aras baharu kepada hubungan komuniti Hokkien di rantau ini.

Iklan

“Saya amat berbesar hati kerana telah dipilih sebagai Presiden Gabungan tersebut yang pertama,” katanya pada sidang media di Plaza Seri Setia di sini pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Agung merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Konvensyen, Datuk Wira Lim Chin Lee; Timbalan Bendahari merangkap Penyelaras Utama Jawatankuasa Penganjur Konvensyen, Datuk Lee Ban Seng; Naib Presiden, Datuk Ng Chin Heng dan Datuk Ong Chong Keng.

Iklan

Turut hadir, Naib Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Usahawan, Datuk Alvin Tee; Timbalan Setiausaha Agung, Leow Chon Huat; Ketua Pemuda Kebangsaan, Tan Say Cheong; serta Pengerusi Seksyen Wanita, Lin Siew Chin.

Konvensyen sehari itu bermula pada jam 8.30 pagi dengan Forum Pembangunan Potensi ASEAN, yang akan dirasmikan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, manakala majlis penutup akan disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Pada sebelah petang, acara diteruskan dengan Majlis Perasmian Muzium Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia yang akan berlangsung di tingkat satu, Bangunan Ibu Pejabat Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia.

Sementara itu, majlis kemuncak konvensyen ialah Majlis Makan Malam Gala sempena Anugerah Keusahawanan Hokkien Malaysia 2025, yang dijadual berlangsung pada jam 7 malam di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur.

Hock San menekankan bahawa konvensyen itu diyakini mampu memberi pelbagai manfaat strategik, antaranya merangsang pemulihan sektor pelancongan dan perkhidmatan tempatan menerusi ketibaan wakil dari pelbagai negara.

Ia turut membuka peluang pelaburan dan kerjasama perniagaan antara negara-negara ASEAN, China dan komuniti Hokkien antarabangsa, selain mengukuhkan keupayaan syarikat tempatan untuk menembusi pasaran serantau dan global.

“Konvensyen ini juga akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan menyokong usaha Malaysia dalam memacu integrasi ekonomi serta kerjasama serantau, seiring peranan kita sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

“Dengan kekuatan perpaduan komuniti ASEAN dan warisan budaya Hokkien yang mendalam, saya percaya konvensyen ini akan menjadi satu pencapaian penting dalam membina jaringan serantau serta menyumbang kepada pembangunan negara,” tambahnya.