PEKAN – Seorang buruh binaan warga Indonesia yang hilang selepas terjatuh dari bot ketika keluar memancing udang di Sungai Lengkor, Sri Makmur di sini ditemui lemas pada Isnin.
Mayat mangsa, Fahrol, 37, ditemui penduduk kampung kira-kira jam 9.10 pagi di lokasi sekitar 28 kilometer dari tempat dia dilaporkan jatuh.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 4.40 petang Ahad.
“Laporan polis dibuat oleh seorang kontraktor warga tempatan (pengadu) di Balai Polis Paloh Hinai.
“Berdasarkan maklumat daripada pengadu berusia 46 tahun itu, dia bersama mangsa dan dua rakan lain yang juga warga Indonesia keluar kira-kira jam 1 tengah hari menaiki bot untuk memancing udang di Sungai Lengkor, Sri Makmur.
“Apabila tiba di kawasan berhampiran Kampung Sungai Pinang, bot yang dipandu pengadu telah terlanggar batang kayu menyebabkan kesemua mereka terpelanting ke dalam sungai,” katanya.
Mohd Zaidi berkata, pengadu bersama dua rakannya sempat naik semula ke atas bot manakala mangsa didapati hilang.
“Susulan kejadian itu, pengadu bersama rakan-rakannya cuba mencari mangsa di dalam sungai dan kawasan sekitar, namun gagal menjumpainya.
“Buntu mencari, pengadu kemudiannya hadir ke Balai Polis Paloh Hinai untuk membuat laporan dan mendapatkan bantuan,” katanya lagi.
Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dibuka di Kampung Sungai Pinang, Sri Makmur pada Isnin bagi memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi dijalankan dengan kekuatan seramai 53 anggota yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.
“Operasi hari pertama ditamatkan selepas mayat mangsa berjaya ditemui kira-kira 10 minit selepas operasi dimulakan jam 9 pagi,” katanya.