GEORGE TOWN - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengarahkan program ceramah agama di Masjid Sembilang, Seberang Jaya dibatalkan selepas didapati dijalankan tanpa kebenaran dan tauliah sah daripada pihak berkuasa agama negeri.
Pengarah JHEAIPP, Marzuki Hassan berkata, arahan pembatalan dibuat selepas pihaknya menerima aduan mengenai penganjuran ceramah yang tidak memenuhi peraturan ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
“Pihak masjid tidak membuat permohonan rasmi untuk menjadi penganjur dan individu yang dijemput sebagai penceramah pula tidak memiliki tauliah yang sah.
"Justeru, program ini melanggar beberapa peruntukan undang-undang syariah serta ketetapan MAINPP dan tidak boleh diteruskan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Marzuki berkata, berdasarkan Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004, mana-mana individu yang mengajar atau menyampaikan tentang agama Islam tanpa tauliah adalah melakukan kesalahan dan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Selain itu, katanya, ketetapan MAINPP bertarikh 23 Mac 2023 yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong turut menetapkan bahawa hanya individu yang mempunyai tauliah atau kebenaran bertulis sahaja dibenarkan menyampaikan ceramah di masjid dan surau di negeri ini.
"Ceramah tersebut juga telah melanggar Kaedah 15 dan 16(1) Kaedah-Kaedah Pentadbiran Aktiviti Yang Berkaitan Dengan Pengajaran Agama (Negeri Pulau Pinang) 1998 yang mewajibkan kelulusan JHEAIPP serta permohonan rasmi menerusi Borang 3 kepada Pengarah JAIPP," jelasnya.
Marzuki turut mengingatkan bahawa tindakan seperti itu boleh dianggap menghina pihak berkuasa agama sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996.
Beliau menyeru semua pihak agar menghormati undang-undang sedia ada dan memastikan segala program keagamaan di masjid dan surau diadakan mengikut prosedur ditetapkan agar institusi tersebut kekal sebagai zon aman dan bebas daripada sebarang pengaruh yang tidak wajar.
"MAINPP dan JHEAIPP amat mengalu-alukan penganjuran pelbagai aktiviti keagamaan, namun perlu dipastikan ia dijalankan secara tertib dan sah dari segi perundangan," tegasnya.