SEKARANG ini majlis kenduri, khususnya kenduri kahwin, sudah tidak tertakluk kepada cuti sekolah atau cuti umum. Asalkan hujung minggu, ada sahaja jemputan yang Merak Jalanan terima. Jika berkesempatan, insya-ALLAH sedaya upaya akan cuba hadir.
Bukan sebab nak makan sangat pun, tapi lebih kepada menghormati jemputan tuan rumah, dapat berkumpul sekeluarga serta bertemu saudara-mara dan sahabat handai yang sudah lama tidak berjumpa.
Zaman berubah. Jika dulu kenduri diadakan di rumah, kini banyak beralih ke dewan (bukan hotel) dengan pakej katering. Memang mudah, sediakan bajet, segalanya siap.
Namun, sikap manusia tidak pula berubah, malah mungkin semakin teruk. Pertama, sikap pentingkan diri. Contoh paling ketara, bab parkir.
Semua mahu parkir paling dekat dengan dewan. Tapi janganlah sampai halang laluan. Kasihan abang dan kakak Rela yang terpaksa ‘bergaduh’ dengan tuan punya kenderaan yang buat-buat tak faham.
Cadangan Merak Jalanan, pengusaha dewan perlu sediakan ruang parkir mencukupi dan sistematik. Jangan kedekut tambah petugas Rela yang bukan saja jaga lalu lintas, tapi keselamatan tetamu.
Isu kedua, tetamu yang tak mahu bangun selepas makan. Merak Jalanan kasihan tengok tetamu yang sudah ambil makanan tetapi tercari-cari tempat duduk sambil membawa pinggan ke sana sini.
Kalau tempat itu masih digunakan atau 'cop' untuk ahli keluarga, tak mengapa. Tapi yang sudah makan, masih duduk berbual seolah-olah meja itu mereka punya sampai habis majlis. Tak ada rasa bersalah langsung?
Merak Jalanan harap tuan rumah sediakan tempat makan mencukupi dan ruang santai khas untuk tetamu yang sudah makan berbual. Letaklah meja kecil dan kerusi, kemudian nak berborak sampai habis majlis pun tak mengapa.
Merak Jalanan hanya berkongsi pengalaman. Yang baik kita teruskan, yang kurang kita baiki bersama.