PENAMPANG - Festival Kepenggunaan 2025 (Confest 2025) menjadi platform penting dalam mengumpul syor dan pandangan awam bagi memurnikan serta merangka Dasar Pengguna Negara 2.0 (DPN 2.0).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, festival kali ini dianjurkan di Sabah selepas dilaksanakan di beberapa negeri lain seperti Perak, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Menurut beliau, penyertaan melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah serta penuntut universiti itu bertujuan meningkatkan kesedaran kepenggunaan dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda.
"Ia selaras dengan tema ‘Semarak Konsumerisme’ supaya mereka memahami hak-hak kepenggunaan tersebut.
"Dalam masa sama, kita juga menggunakan platform ini untuk mengumpulkan syor dan pandangan daripada golongan sasar iaitu anak-anak muda, khususnya mereka yang terlibat dalam Confest 2025 ini, dalam rangka kita mengubah DPN 2.0 yang sedang kita murnikan sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Confest 2025 di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC) di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau berkata kementeriannya menyasarkan agar DPN 2.0 dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat untuk dibawa ke peringkat jemaah menteri pada Oktober ini.
Katanya, dasar itu akan menjadi panduan utama bagi penggubalan dasar kepenggunaan negara bermula 2026 hingga 2030 serta menjadi rujukan penting kepada semua pihak berkepentingan dalam melaksanakan inisiatif dan aktiviti berkaitan kepenggunaan.
Beliau turut menjelaskan empat teras utama yang menjadi fokus dalam penggubalan dasar tersebut.
"Pertama, kita mahu memaknai semula lapan hak pengguna sejagat yang telah digariskan.
"Kedua, memperincikan peranan semua pemegang taruh penting dalam menggerakkan inisiatif dan program yang menjurus kepada usaha menjaga dan memelihara hak-hak pengguna," katanya.
Tambah beliau lagi, komponen ketiga adalah memastikan dasar dan program yang dibangunkan bersifat responsif terhadap tuntutan serta cabaran semasa, khususnya dalam era teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI).
"Landskap hari ini menyaksikan berlakunya peralihan dalam urus niaga pengguna dengan kecenderungan kepada transaksi dalam talian sama ada melalui e-dagang mahupun media sosial. Ini cabaran baharu yang mesti diambil kira dalam DPN 2.0.
"Sementara itu, teras keempat pula melibatkan keperluan menangani isu global yang memberi kesan kepada pengguna, termasuk cabaran kos sara hidup yang semakin meruncing,” katanya.
Sehubungan itu, jelas beliau, empat perkara tersebut menjadi asas penggubalan DPN 2.0, namun pelaksanaannya tidak boleh digerakkan oleh kerajaan dan sektor swasta semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan menyeluruh daripada masyarakat.
"Antara komponen penting dalam kita menjayakan DPN ini adalah penyertaan awam dan atas sebab itulah, hari ini (ahad) kita telah mengambil keputusan untuk melaksanakan lonjakan kepada penyertaan awam melalui penubuhan yang kita namakan Skuad Kita Pengguna (Skip)," ujarnya.