PASIR MAS - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) memaklumkan pengendali makanan yang didakwa menyebabkan kes keracunan di sebuah kolej di sini tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, selain itu mereka juga dikatakan baru memulakan perniagaan tersebut.
"Setakat ini kesemua mangsa seramai 427 orang dilaporkan kembali sihat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Operasi Bersepadu Undang-undang Kesihatan Awam (OSKA) Siri 7/2025 di Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Mas di sini pada Ahad.
Menurut beliau, pengendali makanan tersebut telah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 18 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Ujarnya, selain itu premis terbabit juga diarahkan tutup bermula dari 9 hingga 16 Julai.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa seramai 343 individu terdiri daripada pelajar baharu, ahli jawatankuasa dan kakitangan orientasi sebuah kolej mengalami keracunan makanan selepas menikmati hidangan makan malam pada hari Selasa.
Difahamkan, makanan tersebut disediakan oleh katerer luar.
Mangsa dilaporkan mengalami gejala seperti sakit perut (97.9 peratus), cirit-birit (82.2 peratus), pening (43.1 peratus), loya (35.8 peratus), muntah (9.6 peratus) dan demam (7.3 peratus).