SHAH ALAM – Cadangan sembilan ahli Parlimen PKR berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kemelut pelantikan badan kehakiman negara bukanlah satu bentuk pelanggaran disiplin dalaman parti.
Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan berkata, sekiranya pucuk kepimpinan PKR merasakan tindakan beliau bersama lapan ahli Parlimen lain ada kaitan dengan isu disiplin, Perlembagaan parti seharusnya menyediakan mekanisme penyelesaian seperti merujuk kepada Lembaga Disiplin Parti.
Iklan
Iklan
Menurutnya, tindakan penggantungan pula bergantung kepada syor daripada Lembaga Disiplin tersebut dan perlu dirujuk kepada Biro Politik serta Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sebelum sebarang tindakan boleh diambil.
“Bagaimanapun, isu yang kami bangkitkan merangkumi empat perkara yang telah pun diketahui umum dan boleh memberi kesan jangka pendek dan panjang kepada rakyat serta negara.
“Kami hanya mencadangkan beberapa pendekatan yang boleh memberi pencerahan serta cadangan kaedah penyelesaian, dalam batas-batas yang terkandung dalam Perlembagaan PKR termasuk cadangan penubuhan RCI,” katanya kepada Sinar Harian.
Zahir turut menjelaskan bahawa isu-isu lain yang dibangkitkan mereka tidak bertentangan dengan Perlembagaan PKR, memandangkan gesaan agar kemelut pelantikan badan kehakiman dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan saranan agar rakyat diberi ruang menyuarakan pandangan melalui petisyen dalam talian merupakan hak kebebasan bersuara sebagai wakil rakyat.
Justeru, beliau berpandangan bahawa peluang seluas-luasnya perlu diberi kepada Presiden PKR untuk menjelaskan isu ini dan menutup segala persepsi awam melalui fakta dan maklumat yang sahih.