Wajib lapor kemalangan dalam tempoh 24 jam: MOTAC tegas demi keselamatan pelancong

Iklan
Tiong King Sing - Foto Bernama

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menegaskan bahawa keperluan syarikat pelancongan untuk mengemukakan laporan dalam tempoh 24 jam selepas berlaku sebarang kemalangan bukanlah satu langkah keterlaluan, sebaliknya ia adalah tindakan tegas bagi menjamin keselamatan pelancong.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, MOTAC tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan nyawa manusia, meskipun menerima kritikan daripada pihak industri termasuk Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).

Iklan
Iklan

“Keselamatan pelancong adalah soal hidup dan mati. Ia mesti diberi keutamaan tertinggi dan tidak boleh dikorbankan atas alasan keselesaan atau keuntungan.

"Banyak kemalangan melibatkan sektor pelancongan sebelum ini telah menimbulkan kebimbangan awam serta menyebabkan beberapa negara asing mengeluarkan nasihat perjalanan terhadap Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden MATTA, Nigel Wong yang menyifatkan arahan penyerahan laporan dalam masa 24 jam sebagai tindakan ekstrem.

Menurut King Sing, pihak kementerian akan terus melaksanakan peraturan tersebut secara tegas tanpa tunduk kepada tekanan atau aduan mana-mana pihak.

Iklan

“Kami harap Presiden MATTA dan semua ahli memahami bahawa keselamatan pelancong merupakan tanggungjawab paling asas. Ia bukan sesuatu yang boleh dikompromi.

"Penyerahan laporan dalam tempoh 24 jam bukan bermaksud pengakuan bersalah, tetapi ia bertujuan membantu siasatan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca kemalangan secara tepat.

“Maklumat seperti latar belakang dan status kesihatan pemandu, rekod pemeriksaan teknikal kenderaan, butiran ahli kumpulan pelancongan, jadual perjalanan sebelum dan selepas kejadian amat penting untuk proses siasatan,” jelas beliau.

King Sing turut melahirkan rasa kesal terhadap reaksi MATTA yang dilihat terlalu defensif dalam isu ini.

“Adakah mereka lebih rela melihat lebih banyak kemalangan berlaku tanpa sebarang pertanggungjawaban daripada mengambil tindakan pembetulan terhadap kelemahan ketara dalam aspek keselamatan?

“Daripada menyalahkan usaha reformasi kementerian, kenapa mereka lebih ghairah untuk kekal dalam zon selesa, kurangkan kos dan tingkatkan keuntungan tanpa memberi perhatian terhadap keselamatan pelancong?” soal beliau.

Beliau turut mempersoalkan sumbangan MATTA dalam menangani isu keselamatan sepanjang dua setengah tahun beliau memegang jawatan menteri.

“Berapa banyak kemalangan berkaitan pelancongan telah berlaku di Malaysia setakat ini? Berapa banyak nyawa telah terkorban?

"Apa yang telah dilakukan MATTA untuk mengatasinya? Pernahkah mereka mengemukakan cadangan penambahbaikan keselamatan kepada ahli mereka?” katanya lagi.

Beliau menegaskan bahawa apabila kerajaan meluluskan lesen pengendali pelancongan, pihak swasta juga harus bertanggungjawab terhadap pematuhan peraturan dan aspek keselamatan.

Katanya, langkah ini juga akan mendorong penapisan lebih ketat dalam proses pengambilan pekerja serta pelaksanaan langkah keselamatan yang lebih tegas.

"Tidak boleh lagi menggunakan alasan kekurangan tenaga kerja untuk mengabaikan aspek keselamatan.

“Ada kes di mana pemandu atau pengendali mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah tetapi masih diambil bekerja.

"Kes kemalangan bot di Pulau Perhentian juga menunjukkan penumpang tidak diberikan jaket keselamatan,” katanya.

Tambah beliau, dalam beberapa lawatan rasmi ke luar negara, menteri-menteri luar melahirkan rasa bimbang mengenai tahap keselamatan pelancong di Malaysia.

“Bagaimana industri pelancongan kita mahu berkembang jika isu keselamatan masih dipersoalkan?

"Jika dunia mula mengeluarkan amaran perjalanan menyeluruh terhadap Malaysia, ia akan menjejaskan kelangsungan industri itu sendiri,” tegas Tiong.

Beliau turut menyeru MATTA dan semua pemain industri agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan awam.

“Jangan tunggu tragedi berlaku baru mahu bertindak. Kita tidak mahu kejadian sama menimpa orang tersayang kita.

"Motac sedia bekerjasama dengan semua pemain industri untuk membina landskap pelancongan negara yang lebih bertanggungjawab dan progresif.

“Kami mengalu-alukan dialog dan libat urus yang lebih membina demi memperkukuh industri pelancongan negara,” katanya.

ends