Dasar Hala Tuju SMJ bukan sekadar dokumen - Hajiji

Iklan
Hajiji ketika hadir pada Konvensyen PBS-STAR di Dewan Hongkod Koisaan KDCA Penampang.

PENAMPANG – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan sekadar dokumen, sebaliknya merupakan pelan strategik jangka panjang untuk kemajuan negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, pelan strategik itu merangkumi pembangunan sumber manusia, pengurusan hasil bumi dan kecekapan pentadbiran di bawah GRS.

Iklan
Iklan

“GRS bukan sahaja berupaya menjana kemajuan ekonomi, tetapi turut komited dalam menyempurnakan pembangunan infrastruktur asas, membasmi kemiskinan tegar dan menyejahterakan kehidupan rakyat seluruhnya.

“Insya-ALLAH, jika GRS terus diberi mandat dalam pilihan raya akan datang, kita akan pastikan semua rancangan pembangunan yang telah dirangka dapat dilaksanakan sepenuhnya, dari bandar hingga ke pedalaman,” katanya ketika menyempurnakan penutupan Konvensyen PBS-STAR 2025 di Hongkod Koisaan, Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) di sini pada Sabtu.

Iklan

Hajiji berkata, Sabah mampu berubah wajah menjadi negeri yang lebih maju, makmur, aman dan sentosa jika GRS terus diberi mandat oleh rakyat dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

“Dengan iltizam politik yang kuat, ditambah dengan iklim ekonomi yang semakin baik serta kestabilan politik yang kita sama-sama perjuangkan sejak 2020, saya yakin Sabah akan melangkah jauh ke hadapan sebagai negeri yang maju, aman dan makmur,” katanya.

Iklan

Tambah beliau, sepanjang hampir lima tahun memimpin kerajaan, pelbagai pencapaian penting telah dicapai termasuk pemulihan ekonomi negeri, peningkatan pelaburan dan hasil kerajaan negeri secara signifikan.

“Ketika kita mengambil alih pentadbiran negeri pada September 2020, Sabah berdepan situasi ekonomi paling buruk dalam sejarah.

“Namun, dengan perancangan teliti dan pelaksanaan Dasar Hala Tuju SMJ (SMJ 1.0), kita bukan sahaja berjaya memulihkannya, malah melonjakkan prestasi ekonomi negeri ke tahap yang amat membanggakan,” ujarnya.

Menurut Hajiji, antara pencapaian utama kerajaan GRS termasuk Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah pada 2024 yang meningkat kepada RM84.3 bilion berbanding RM83.2 bilion pada 2023.

“Kutipan hasil negeri selama tiga tahun berturut-turut iaitu 2022, 2023 dan 2024 hampir mencecah RM7 bilion, berbanding hanya RM3.59 bilion pada 2020.

“Rizab kerajaan negeri kini telah mencecah RM8.6 bilion. Pelaburan domestik dan asing yang berjaya dibawa masuk ke Sabah sejak 2021 pula berjumlah RM35.38 bilion.

“Semua ini adalah petunjuk ekonomi yang sihat dan bukti keupayaan serta kecemerlangan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan GRS. Tiada siapa yang boleh menafikannya. Hanya pembangkang yang memilih untuk menutup mata dan menafikan fakta-fakta ini,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji mengingatkan seluruh pimpinan dan ahli GRS supaya terus mempertahankan perjuangan gabungan itu dalam menghadapi cabaran masa depan, tohmahan pembangkang serta gerakan terselindung yang bertujuan melemahkan kekuatan politik GRS.

Katanya, kejayaan pentadbiran GRS menyebabkan pihak pembangkang tidak senang dan berterusan melakukan serangan politik bersifat destruktif termasuk penyebaran dakyah palsu, penipuan dan fitnah terhadap kerajaan serta pemimpinnya.

“Mereka tidak akan berhenti. Mereka cemburu dan iri hati terhadap kejayaan yang kita capai. Mereka mahu melihat kita gagal, lemah dan jatuh.

“Justeru, saya ingatkan, rumah kita, kita jaga. GRS ini rumah kita, tempat kita berlindung dan mengatur perjuangan. Kalau bukan kita sendiri yang menjaganya, siapa lagi yang boleh kita harapkan,” katanya.

Mengenai konvensyen tersebut, beliau menyifatkannya sebagai satu detik bersejarah yang memperkukuh muafakat politik tempatan, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa GRS bersedia menghadapi PRN17 dengan barisan kepimpinan yang teguh, bersatu dan berwibawa.

Menurutnya, kerjasama erat antara dua parti tempatan, iaitu PBS dan STAR, adalah lambang kematangan politik yang meletakkan kepentingan rakyat dan negeri Sabah mengatasi perbezaan fahaman.