KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menganjurkan sebuah forum terbuka berjudul Integriti Kehakiman esok bagi membincangkan pelbagai dakwaan membabitkan proses pelantikan dalam institusi kehakiman negara.
Forum yang dijadual berlangsung jam 8.30 malam di Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), Kuala Lumpur itu merupakan siri pertama daripada beberapa program dirancang oleh Rafizi dan pasukan 'Ayuh Malaysia' untuk mengetengahkan isu-isu berkaitan reformasi institusi.
Dalam kenyataan di Facebook peribadi, Rafizi mendedahkan forum awam itu akan turut disertai Presiden Commonwealth Lawyers Association, Steven Thiru; Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Mohammad Faisal Abdul Aziz dan peguam, Lim Wei Jiet.
Difahamkan, semua ahli Parlimen telah menerima surat jemputan rasmi daripada Rafizi pada Sabtu lalu.
Pada masa sama, bekas Menteri Ekonomi itu turut menggariskan tiga tuntutan utama berhubung isu pelantikan kehakiman yang semakin mendapat perhatian umum.
Antara tuntutan itu termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan berkaitan pelantikan kehakiman, selain menyokong tindakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan hak asasi manusia, pilihan raya dan reformasi institusi untuk turut menjalankan siasatan, termasuk memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keterangan.
Tuntutan ketiga pula menyentuh keperluan mengisi kekosongan jawatan penting dalam badan kehakiman berdasarkan cadangan sedia ada daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Dalam surat tersebut, Rafizi turut menggesa semua ahli Parlimen daripada kerajaan mahupun pembangkang untuk hadir ke forum berkenaan bagi menunjukkan solidariti terhadap usaha memperkukuh integriti institusi kehakiman.
Sementara itu, seorang ahli Parlimen kerajaan yang enggan namanya didedahkan berkata, setakat ini belum ada keputusan rasmi daripada blok kerajaan berhubung pendirian terhadap gesaan tersebut.
“Perdana Menteri dijadualkan bertemu semua ahli Parlimen Pakatan Harapan pada petang Isnin ini.
"Jadi kami akan tunggu dahulu maklum balas beliau sebelum menentukan langkah seterusnya,” kata sumber itu kepada media.
Untuk rekod, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat telah bersara secara rasmi pada 2 Julai lalu selepas tempoh pelanjutan perkhidmatannya selama enam bulan tidak dipersetujui.
Susulan itu, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim kini memangku jawatan tersebut secara interim sehingga November ini, selepas turut menerima pelanjutan perkhidmatan selepas mencapai umur persaraan wajib.
Forum kendalian Rafizi dijangka menjadi pentas kepada pelbagai pandangan berhubung dakwaan campur tangan dalam badan kehakiman serta gesaan agar proses pelantikan hakim dilakukan secara telus dan bebas daripada sebarang pengaruh politik atau kepentingan individu.