SHAH ALAM – Polis mengesahkan telah menerima laporan berkaitan satu program motivasi rumah tangga yang didakwa songsang dan terpesong dipercayai diadakan di sebuah pusat konvensyen di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, semakan mendapati laporan tersebut dibuat oleh seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun pada Februari lalu.
“Semakan berdasarkan laporan pengadu mendapati program berkenaan diadakan pada bulan September tahun lalu.
“Kita akan memanggil isteri kepada pengadu yang terlibat serta beberapa saksi lain yang berada di tempat kejadian untuk dirakam keterangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, pihak polis kini sedang mengambil beberapa langkah awal untuk mengesahkan perkara tersebut.
“Ini bagi menentukan sama ada tindakan selanjutnya akan dijalankan oleh pihak polis atau diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Pihak JAIS juga telah memaklumkan bahawa mereka akan hadir semasa proses rakaman keterangan dijalankan.
“Kita juga mengalu-alukan mana-mana saksi yang mahu tampil memberi keterangan, termasuk menyerahkan gambar atau video berkaitan kepada pihak polis,” katanya.
Menurut beliau, sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Anuar Amilah di talian 019-225 5597.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan siasatan secara terperinci bersama JAIS bagi memastikan kesahihan maklumat berhubung program motivasi rumah tangga yang didakwa menyimpang itu.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, langkah itu diambil bagi mendapatkan gambaran sebenar sebelum tindakan wajar diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Terdahulu, orang ramai dikejutkan dengan pendedahan seorang pengguna media sosial mengenai program motivasi rumah tangga yang didakwa songsang dan terpesong, dipercayai berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam.