MALAYSIA menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya tujuh pingat tanpa mengira warna pada Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 yang akan berlangsung di Rhein Ruhr, Jerman dari 16 hingga 27 Julai ini.
Sasaran itu disifatkan sebagai realistik berdasarkan senario semasa termasuk perubahan acara yang dipertandingkan berbanding edisi terdahulu di Chengdu, China.
Ketua kontinjen negara, Datuk Mohd Hafiz Yusoff berkata, sasaran tersebut turut mengambil kira analisis menyeluruh terhadap kekuatan kontinjen kali ini serta cabaran yang bakal ditempuhi di Jerman.
“Kami meletakkan sasaran tujuh pingat tanpa mengira warna. Ini berdasarkan analisis serta situasi semasa, memandangkan beberapa acara yang menyumbang pingat pada edisi 2023 tidak dipertandingkan kali ini.
“Pun begitu, kami percaya sasaran ini adalah realistik dan boleh dicapai dengan semangat juang yang tinggi daripada para atlet,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Jalur Gemilang ke WUG 2025 yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Malaysia akan menghantar seramai 93 wakil termasuk 64 atlet dan 30 pegawai yang akan menyertai enam jenis sukan iaitu olahraga, badminton, taekwondo, memanah, gimnastik artistik dan renang.
Pada edisi 2023 di Chengdu, kontinjen negara mencipta sejarah apabila meraih satu pingat emas, satu perak dan lima gangsa – pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah penyertaannya di temasya itu.
Dalam pada itu, Zambry mengingatkan atlet agar tidak hanya fokus kepada kutipan pingat semata-mata, sebaliknya melihat penyertaan di pentas antarabangsa ini sebagai peluang membina jati diri dan imej negara.
“Ke mana sahaja kita pergi, kita membawa nama Malaysia. Bukan sekadar bersaing, tetapi kita tampil sebagai duta kecil negara di mata dunia,” katanya.
Pada majlis tersebut turut diumumkan bahawa jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi akan membawa Jalur Gemilang selaku pembawa bendera rasmi kontinjen.