TUMPAT - Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan menulis surat kepada Kementerian Ekonomi pada mesyuarat Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam masa terdekat bagi merealisasikan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul-Albab pertama di Kelantan.
Beliau memberitahu, pembinaan MRSM di Tanah Merah itu sudah mendapat persetujuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Asyraf Wajdi juga memberitahu, pihaknya sudah mengadakan mesyuarat mengenai perkara itu.
"Permohonan pembinaan MRSM ini sudah lama dan peruntukan sudah ada. Pada mesyuarat akan datang kita akan tulis surat kepada Kementerian Ekonomi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tumpat 2025 pada Jumaat.
Mesyuarat dirasmikan oleh Ahmad Zahiddan dan dihadiri oleh Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Zulkifli Abdullah.
Asyraf Wajdi melalui Facebook berkongsi mengenai pembinaan MRSM Ulul-Albab pertama di Kelantan yang akan dibina di Tanah Merah.
Beliau turut memaklumkan kesemua 57 MRSM ketika ini sedang melaksanakan program Ulul-Albab iaitu mini Ulul-Albab atau Tamhidi yang memerlukan pelajar sekurang-kurangnya menghafaz lima juzuk atau surah terpilih termasuk juzuk Amma.
Kongsi beliau lagi, di samping lapan MRSM yang melaksanakan program penuh Ulul-Albab, MRSM Tanah Merah akan menjadi MRSM ke-9 melaksanakan program Ulul-Albab secara menyeluruh.
"Melalui arahan Timbalan Perdana Menteri, diusahakan untuk segera melalui proses tata kelola bagi merealisasikan hasrat UMNO Tanah Merah yang membawa suara rakyat Tanah Merah dan Kelantan, insya-ALLAH," tulis beliau di media sosial itu.