Tiada tuntutan rasmi Malaysia terhadap tradisi Pacu Jalur - Duta Besar Indonesia

Iklan
Tradisi Pacu Jalur. Foto Antara

KUALA LUMPUR – Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono menafikan dakwaan bahawa pihak berkuasa Malaysia membuat tuntutan rasmi terhadap tradisi Pacu Jalur yang berasal dari Indonesia dan kini tular di media sosial.

Beliau menjelaskan bahawa sehingga kini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia berkaitan tradisi lumba perahu tersebut yang popular di Kuantan Singingi, Riau.

Iklan
Iklan

“Apa yang tular mungkin hanyalah dakwaan tidak rasmi yang disebarkan oleh netizen, atau tuduhan tidak berasas bahawa Malaysia mendakwa ia milik mereka. Namun secara rasmi, tiada tuntutan bahawa Pacu Jalur adalah milik Malaysia,” katanya pada Rabu, seperti dilaporkan Antara News.

Mengulas lanjut, Hermono berkata, wujudnya persamaan budaya antara Indonesia dan Malaysia tidak seharusnya menjadi punca pertikaian, memandangkan sejarah migrasi rakyat Indonesia ke Tanah Melayu sebelum kemerdekaan Malaysia turut membawa bersama warisan budaya mereka.

Iklan

“Ramai rakyat Malaysia hari ini berasal daripada keturunan masyarakat Riau, Padang, Sulawesi Selatan, Jawa dan sebagainya. Oleh itu, tidak hairan jika terdapat persamaan budaya yang ketara kerana ia dibawa oleh pendatang Indonesia yang kini menjadi warganegara Malaysia,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan mengenai kewujudan nama tempat yang hampir sama di kedua-dua negara, seperti Sungai Kuantan di Riau dan Kuantan di Pahang, Malaysia, sekali gus menambah kepada kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Iklan

“Setahu saya, Pacu Jalur dianjurkan di Sungai Kuantan, Riau, manakala di Malaysia pula terdapat Bandar Kuantan dan Sungai Kuantan di Pahang. Maka, memang ada persamaan nama. Namun, setakat ini tiada bukti bahawa kerajaan Malaysia mengisytiharkan tradisi itu sebagai warisan budaya negara,” tegasnya.

Hermono turut menggesa rakyat Indonesia agar tidak mudah terpengaruh dengan berita tular yang tidak jelas sumbernya di media sosial, kerana ia hanya akan mencetuskan ketegangan dalam talian dan merenggangkan hubungan dua hala.

“Sebaliknya, persamaan budaya antara dua negara serumpun ini sepatutnya menjadi pengikat hubungan, bukannya punca konflik,” katanya.

Menurut beliau, insiden sebelum ini membuktikan bahawa isu budaya sering menjadi punca perbalahan siber, khususnya dalam kalangan masyarakat awam di kedua-dua negara.

“Rakyat Indonesia perlu bijak menilai dan tidak cepat terhasut dengan berita yang tidak sahih di media sosial. Ini penting untuk menjaga keharmonian serantau. Jangan biarkan persamaan budaya menjadi faktor yang mencetuskan kekecohan yang tidak perlu,” katanya.-Agensi