Manggis 'laku keras', jualan cecah 100kg sehari

Iklan
Muhammad Zaim (kanan) melayan pelanggan yang datang ke gerai buahnya di jalan pasar Kuantan pada Jumaat. Foto Sinar Harian.

KUANTAN – Musim manggis membawa rezeki berganda kepada peniaga buah di daerah ini apabila jualan harian mereka boleh mencecah hampir 100 kilogram (kg) sehari.

Peniaga, Muhammad Zaim Mohamad Tahir, 53, berkata, dia menjual antara empat hingga lima bakul manggis setiap hari, dengan setiap bakul dianggarkan seberat 20 kg.

Iklan
Iklan

Menurutnya, manggis yang dijual diperoleh daripada pemborong di Perak kerana lokasinya yang dekat selain mengutamakan buah tempatan.

"Kalau bekalan buah-buahan tidak mencukupi, barulah saya dapatkan bekalan buah dari Thailand dengan membuat pesanan melalui pemborong.

Iklan

“Buat masa sekarang saya tempah buah dengan pemborong dalam negeri. Biasanya satu lori penuh dihantar dari Perak, tapi bukan semua untuk saya kerana saya ambil sebahagian sahaja," katanya ketika ditemui di Jalan Pasar Kuantan, di sini pada Jumaat.

Dia yang sudah lapan tahun berniaga memberitahu, harga manggis kini dijual pada RM12 sekilogram berbanding RM10 minggu lalu kerana bekalan semakin berkurangan.

Iklan

Ujarnya, sambutan pelanggan bergantung kepada musim dan waktu tertentu.

“Kalau awal bulan, masa orang baru dapat gaji, biasanya ramai yang datang beli. Tapi kalau tengah bulan pelanggan agak kurang,” katanya.

Menyentuh mengenai kualiti manggis, Muhammad Zaim berkata, buah tersebut perlu dijaga rapi kerana mudah rosak sekiranya jatuh atau terlalu lama terdedah kepada panas.

“Buah manggis ini sensitif, kalau jatuh atau bakul dia terlalu penuh, ia akan rosak.

"Tapi kalau buah ini baru sampai, ia boleh tahan tiga hari. Kena panas pun tak boleh,” katanya.

Mohd Asri memaklumkan buah manggis mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan. Foto Sinar Harian

Seorang lagi peniaga buah, Mohd Asri Amri, 46, berkata, manggis yang dijual diperoleh sepenuhnya dari Perak sejak seminggu lalu.

Jelasnya, manggis dijual pada harga RM10 sekilogram dan mendapat sambutan baik daripada pelanggan setiap hari.

“Setiap hari boleh habis sampai 60 kilogram sebab manggis kini ramai yang suka kerana isinya manis dan harga pun berpatutan, jadi mudah dijual,” jelasnya ringkas.